SUDAH dua minggu, kami semua meneruskan latihan kami di Aman’s Jamming Studio yang terletak di pinggir bandar. Setakat ini semuanya berjalan lancar. Selepas kami memainkan lagu Check Yes Juliet yang berirama agak keras, kami semua berhenti berehat dahulu. Sepanjang lagu itu disampaikan oleh kami, aku mengangkat tangan memberi tabik kepada Sam. Rupanya gadis cina yang pendiam ini mempunyai bakat yang sangat hebat dan memang tidak boleh disangkal lagi kehandalannya memain drum. Walaupun badanya kecik, tenaganya setanding lelaki.
Hari ini, entah kenapa aku begitu teruja untuk mendengar Sam mengalunkan lagu. Aku pasti, suaranya pasti lebih sedap dan layak untuk menjadi vokalis. Memandangkan dia lebih berminat untuk bermain drum, pastinya dia tidak dapat untuk menjadi vokalis.
“ Sam,” panggilku ketika Sam sedang memusing-musingkan kayu drum sambil membaca not lagu.
Dia mendongak dan mengangkat kening. Isyarat kepada soalan ‘ kenapa?’
“ Jom duet,” ajakku. Seperti yang kuduga, Sam akan terkejut dan cepat-cepat mengeleng. Pucat pula raut wajahnya.
“ Ala Sam, bukannya ada siapa-siapa pun dekat sini. Adam dengan Joey je. Macam tak biasa. Bolehlah. Sekali aje. The first and the last time,” pujukku dengan suara yang dilembutkan.
Sam memuncungkan bibirnya. Seperti selalu, alasan yang Sam akan gunakan ialah, “ Siapa nak main drum?” Jadi, sebelum Sam membuka mulut, aku pantas mencantas.
“ Adam akan main drum. Cepatlah. Jangan nak bagi alasan lagi,” gesaku.
Melihat Sam yang tidak mahu bangun itu, aku bertindak menghampirinya dan menarik tangannya bergerak menghammpiri mikrofon.
“ Adam and Joey, cepat. Do your work,” arahku sesuka hati. Kedua-dua anak muda itu hanya mengangkat bahu. Adam menyerahkan gitar yang digalasnya kepadaku sementara dia berjalan bergerak ke arah set drum.
“ Dian, lagu apa?” tanya Joey.
“ Just follow my note. Alah, nanti korang tahulah,” jawabku. Aku mengerling sekilas ke arah Sam.
“ Tunjukkan aku siapa diri kau yang sebenar Sam.” Sempat aku berbisik kepadanya.
Not-not lagu This Is Me dari Demi Lovato yang sedari dulu aku hafal aku mainkan semula. Lagu yang aku rasakan begitu sesuai dengan diri Sam. Dengan cekapnya juga, Adam dan Joey dapat menangkap lagu yang aku mainkan. Seiring dengan kord Am F C dan G, Sam mengalunkan baris yang pertama.
Betul telahanku, Sam begitu bersemangat mendendangkan lagu itu. Jelas kelihatan raut kepuasan di wajahnya. Seolah-olah dia baru sahaja melepaskan rasa hatinya.
Aku, Joey dan Adam bertepuk tangan sebagai rasa bangga atas keberanian Sam. Sam juga turut mengukirkan senyuman puas. Selepas itu, tidak semena-mena kami menangkap bunyi tepukan dari luar studio. Serentak, kami berpaling ke arah pintu studio. Kelihatan seorang wanita awal 40-an sedang berjalan ke arah kami. Melihat mata wanita itu yang sepet dan iras-iras Sam, terus aku dapat mengagak wanita itu adalah ibu Sam.
Sam kelihatan takut-takut untuk menghampiri wanita yang berpakaian mewah itu. Sama ada di leher atau di lengan, kedua-duanya sarat dengan rantai emas. Aku, Adama dan Joey memandang antara satu sama lain sambil mengangkat bahu. Rasanya kami semua tidak dapat meneka apa yang akan terjadi antara Sam dan ibunya. Tidak lama selepas itu kami semua mengeleng kepala apabila mereka mula bercakap dengan menggunakan bahasa mereka. Aduh, makin susah untuk kami memahaminya. Sudahnya kami mengambil tempat duduk sambil menongkat dagu melihat perbincangan dua beranak itu.
Hampir sepuluh minit juga kami menunggu ibu Sam untuk beredar. Setelah penantian itu berakhir, kami didatangi oleh Sam dengan senyum lebarnya. Walaupun Sam sedang tersenyum, kami semua masih tertanya-tanya. Tembok kesepian yang tercipta itu aku pecahkan dengan bertanyakan soalan kepada Sam.
“ Kenapa mak kau datang sini? Dan kenapa juga kau senyum sampai ke telinga ni? You make me wonderlah.”
“ Korang percaya tak yang my mom akan tanggung semua kos perbelanjaan kita untuk competition tu nanti?” beritahu Sam dengan terujanya.
Hampir terkeluar biji mata kami bertiga apabila mendengarnya. Satu khabar berita yang gembira dan pelik bagiku. Bukankah dahulu ibu Sam juga turut menghalang kami daripada menyertai pertandingan ini. Tup-tup hari ini dia pula yang ingin menjadi penaja utama. Memang menghairankan. Benakku mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mungkin ini andalah rancangan mereka untuk menghentikan kami. Ataupun mereka sedang mengumpan kami.
“ Hoi!!” sergahan suara garau tepat disebelah telingaku merencatkan lamunanku. aku mula kembali ke alam nyata. Adam, Joey dan Sam semuanya begitu ceria dengan perkhabaran yang baru disampaikan oleh Sam kurang lima minit yang lalu.
“ My mom cakap, ada bagusnya juga aku join kau orang dalam pertandingan tu. Aku sekarang dah dapat banyak kawan. Aku bukan lagi Sam yang silent. Sekurang-kurangnya aku dah ada dunia yang baru dan dia akan sokong apa yang aku buat.” Sam bercerita tanpa disuruh.
“ Baguslah kalau macam tu. Mak kau dah terbuka hati nak terima keputusan aku. Tapi aku, Adam dengan Dian belum tentu lagi,” keluh Joey hampa.
“ Jangan bimbang, mak aku janji akan tolong pujuk dia orang semua. Korang nak tahu tak siapa yang pujuk mak aku?” tanya Sam.
Adam mendongak. “ Siapa?”
Sam tersenyum lebar. “ Sir Muslim. Dia yang datang jumpa mak aku dan cakap pasal prestasi kita. Sir cakap kita ada bakat yang tak sepatutnya dipendam. Apa lagi yang Sir Mus cakap aku tak ingat la pula. Esok kita pergi tanya dia.”
Tiba-tiba Adam dan Joey bertepuk tangan. “ Wah!! Sir Muslim memang terbaiklah. Tak sia-sia kita ikut cakap dia hari tu kan Dian? Dian? Hoi, apa yang kau menungkan tu? orang tengah seronok-seronok ni?” sergah Adam buat sekian kalinya.
“ Kau ni memang tak ada lesenlah. Cuba panggil elok-elok sikit!” marahku.
“ Ek eleh dia ni, emo pulak. Apa yang fikirkan ni? Macam ayam tengah berak kapur aje aku tengok muka kau ni?? Soal Adam prihatin. Suasana yang ceria tadi kembali hambar apabila kesemuanya sedang memandangku. Terasa bersalah pula kerana menghancurkan mood mereka.
“ Entahlah, tiba-tiba aku rasa tak sedap hati pulak. Rasa macam…”
“ Eh, budak-budak! Abang nak mintak tolong sikit.” Belum sempat dialogku habis, suara abang Man pula yang masuk ke pendengaran kami. Semuanya mengalihkan perhatian kepada abang Man yang sedang berjalan menghampiri.
“ Ada apa abang Man? Kelam-kabut semacam aje ni?” tanya Joey.
“ Abang nak minta tolong korang bawak balik gitar ni. Stor dah penuh, malam nanti ada orang nak guna bilik ni,” beritahu abang Man.
Kami semua terkejut. “ Er, boleh ke abang Man?” tanyaku ragu-ragu. Aku takut gitar ini akan dihancurkan oleh papaku kelak.
“ Alah, abang percayakan korang semua. Satu malam aje. Kalau kau orang sanggup, esok kau orang sewa bilik ni free. Okeh?” Abang Man cuba berunding.
Joey, aku dan Adam agak ragu-ragu. Sam bolehlah tersenyum, dia tidak perlu angkut drumnya untuk dibawa balik ke rumah.
“ Sam, simpan kat rumah kau ajelah. Mak bapak kau dah tak kisah,” cadang Joey. Lantas aku dan Adam mengangguk setuju.
“ Aku tak berani, aku ada adik kecik dekat rumah. Lagipun aku tak tahu nak jaga gitar. Nanti rosak lagi susah,” tolak Sam dengan gusarnya.
“ Kita tak ada pilihan. Okeylah abang Man. Tapi esok kita orang tak payah bayar sewakan?” tanyaku sekaligus memberikan persetujuan.
Joey dan Adam menurut. Abang Man tersenyum. Pastinya lega apabila masalahnya selesai.
SAMBIL menggalas beg gitar yang besar, perlahan-lahan aku melangkah masuk ke dalam rumah. Sunyi. Itulah yang dapat aku gambarkan tentang keadaan rumahku sekarang. Tanpa menoleh kiri kanan, aku cepat berjalan menuju ke tangga. Ingin menyembunyikan gitar ini daripada penglihatan kedua orang tuaku. Kata orang, sarang tebuan jangan dijolok!!
“ Baru balik Dian? Kenapa lambat?”
Aduh!! Rasanya itu suara mamaku. Alamak, hatiku mula berdetup selaju 120km/j. aku cuba menenangkan diri sebelum perlahan-lahan berpaling memandang pemilik suara. Ya, tekaanku benar. Dihadapanku kini, seorang ibu yang sedang tegak dengan raut wajah bagaikan seorang guru disiplin.
“ Ye. Tadi mak Sam lambat datang. Sebab tu Dian cepat-cepat nak naik atas, Dian belum solat asar lagi.” Satu alasan tercipta untuk menyelamatkan diri. Tercatat satu dosa.
“ Hm… Dah, pergi naik cepat sembahyang,” balas mama hambar dan terus berlalu pergi. Hampir bertaut keningku melihat sikap mama yang agak pelik pada pandanganku. Dia tak nampak ke beg gitar yang besar gedabak kat belakang aku ni? Ke mama tak tahu yang ni beg gitar? Banyak pula soalan yang berlegar-legar difikiran. Akhirnya aku angkat bahu dan menyambung langkah mendaki tangga. Kewajipan harus ditunaikan.
Di meja makan, aku bagaikan patung yang bernyawa. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulutku langsung tidak mendapat tindak balas dari papa dan mama. Mereka sibuk melayan Kak Dayana dan Danny. Aku mula mengesyak sesuatu. Di dalam bilik ketika aku sibuk memtik gitar, papa sendiri memanggilku makan. Seperti mama, papa juga tidak menegur soal gitar yang berada di dalam bilik. Mungkinkah mereka sedang mogok kerana aku berkeras ingin menyertai pertandingan itu. Perasaan bersalah mula menghurung dada.
No comments:
Post a Comment