MALAM sebegini, tidak akan ada aktiviti lain yang akan aku buat selain daripada terperap di dalam bilik belajar sambil menyiapkan kerja sekolah yang menimbun. Dengan sepasang earphone yang terselit di telinga, aku leka menulis satu persatu huruf di dalam buku nota sejarah sambil turut menyanyi lagu yang dimainkan melalui iPod kesayanganku. Kak Dayana dan Danny juga khusyuk menulis di meja masing-masing.
Dalam aku khusyuk menyanyi, terasa bahuku dicuit dari belakang. Terus earphone aku tanggalkan dari telinga dan memandang Danny di belakang.
“ Kenapa?” soalku dengan kening yang terangkat ke atas.
“ Tu, mama panggil akak. Mama tunggu dekat bawah,” jawab Danny.
“ Bila mama balik?” tanyaku kembali. Sedari aku balik sekolah tadi, kelibat kedua-dua orang tuaku langsung tidak kelihatan.
“ Dah lama dah. Akak aje yang tak dengar.” Danny menjawab sambil berjalan kembali ke mejanya.
Aku hanya mengangkat bahu lantas menutup buku nota dan buku teks. Earphone aku selitkan kembali ke lubang telinga sebelum aku berjalan keluar menuju ke ruang tamu di bawah. Sebaik sahaja kakiku sampai di anak tangga yang terakhir, bukan sahaja mama, papa juga turut berada di situ. Kedua-duanya merenungku dengan pandangan yang mengerunkan.
Tanpa dipelawa, aku melabuhkan punggung di atas sofa yang menghadap kedua-dua ibu bapaku. Earphone dan iPod aku simpan di dalam kocek seluar.
“ Dian balik dari sekolah pukul berapa tadi? Dengan siapa?” dua soalan sekaligus terpancul keluar dari papaku, Encik Dhaim.
“ Dalam pukul lima. Dengan kawan Dian, Sam,” jawabku.
“ Kenapa balik lambat? Ada kelas tambahan ke?” giliran mama pula yang bertanya.
Aku menelan liur. Perasaan tidak enak mula hadir di dalam hati. Adakah mereka tahu kegiatanku selama ini? Kebelakangkan ini, band The Climb sibuk berlatih untuk menyertai pertandingan muzik bulan hadapan. Hadiah yang ditawarkan memang lumayan iaitu, peluang untuk memasuki sekolah Muzik antarabangsa di Kuala Lumpur. Jadi, sudah semestinya kami tidak akan melepaskan peluang ini.
“ Dian, I’m asking you. Kenapa balik lambat sangat hari ni?” mama mengulang pertanyaannya yang tergendala tadi.
Aku menarik nafas. Sabar Dian, bawak bertenang. Sempat lagi aku membisikkan kata-kata semangat untuk diri sendiri.
“ Dian ada latihan persembahan dekat sekolah.” Akhirnya keluar juga jawapan dari mulutku.
“ Latihan persembahan untuk apa? Pertandingan muzik? Dengan band?” seperti machine gun, mama menyerangku dengan soalan-soalannya.
Aku rasa aku sudah tidak mampu untuk bersuara. Aku mengambil keputusan untuk mengangguk sahaja. Terdengar papa mendengus menahan marah. Mama pula masih merenungku tajam.
“ Diana Arisya, berapa kali mama nak cakap yang mama tak izinkan Dian masuk pertandingan macam tu? Kenapa Dian degil sangat ni? Susah sangat ke nak dengar cakap mama?” mama sudahpun berdiri di hadapanku.
“ Ma, pertandingan itukan sebahagian daripada aktiviti kokorikulum sekolah, salah ke kalau Dian nak turut serta sekali?” aku membidas soalan mama.
“ Dian jangan ingat mama dengan papa tak tahu. Sekolah Muzik Angtarabangsa KL yang anjurkan pertandingan tu. Dian join pertandingan sebab itukan? Sebab Dian nak masuk sekolah tu? Dian ingat mama dan papa akan izinkan Dian pergi?” kali ini papa pulak yang melontarkan pelurunya.
“ Ya, memang Dian join pertandingan tu. Tapi, kalau bukan Sekolah International tu yang ajurkan pun, Dian tetap akan masuk juga. Papa dengan mama nak tahu kenapa? Dian buat semua ni sebab Dian minat. Dian buat demi cita-cita Dian yang selama ni mama dan papa tak pernah nak faham.” Aku bersuara tegas. Sekarang bukan masanya untuk aku berdiam diri lagi. Aku juga punya hak untuk menentukan hala tuju hidupku.
Kedengaran mama dan papa mengeluh. Mereka yang tadinya berdiri, mengambil semula tempat duduk mereka di hadapanku.
“ Dian, kenapalah berkeras sangat nak jadi ahli muzik? Tak menjamin masa depan. Lagipun, apa pulak orang akan kata nanti? Mama dengan papa nak anak-anak kami warisi kejayaan kami. Lagipun, belum tentu Dian boleh berjaya kalau jadik ahli muzik. Apa sangatlah yang Dian boleh buat.” Suara mama mengendur. Mungkin ingin memujuk.
Aku tersenyum sinis. “ Kenapa pulak Dian nak peduli apa yang orang lain cakap? Dian buat semua ni untuk diri Dian sendiri, apa Dian nak jadik, apa yang bakal Dian hadapi, itu semua hal Dian. Tak ada orang lain yang akan terlibat pun.
Ma, Dian hidup bukan untuk dipandang tinggi, bukan untuk disanjung. Dian nak hidup bahagia. Dian akan bahagia kalau Dian dapat buat apa yang Dian nak. Tapi sekarang mama dengan papa pulak yang halang kebahagiaan Dian. Ini tak adil ma,” ujarku panjang lebar. Aku memandang penuh harapan wajah tua mama dan papa.
“ Papa buat semua ni untuk kepentingan Dian jugak. Sebagai orang tua, papa nak anak papa berjaya, ada kerja yang bagus. Semua inikan untuk masa depan Dian jugak?” tanya papa lembut.
Mujurlah mereka tahu bagaimana caranya untuk berdiplomasi dengan aku yang sememangnya keras kepala ini.
“ Bagi Dian, yang penting hati. Ada duit bertimbun pun, tak guna kalau hati tak senang. Siapa kata ahli muzik tak boleh berjaya? Habis tu, siapa Datuk M. Nasir? Datuk Ramli M.S, Tan Sri P. Ramlee? Bukan ke dia orang semua anak seni juga? Sampai sekarang dia orang dikenali. Bukan berjaya ke namanya tu?” aku melontarkan hujahku.
Mama dan papa terdiam. Aku menarik nafas lega, mungkin kali ini hati mereka akan terbuka. Suasana yang senyap sunyi itu terus berterusan sehinggalah mama dan papa mengangkat kaki dan menuju ke bilik mereka. Aku bersandar lemah di sofa yang hampir-hampir boleh menelan diriku itu. Empuk sungguh. Terasa ringan segala beban di kepala selama ini.
PAGI yang aku sangkakan indah itu, rupa-rupanya tersembunyi satu tragedi. Belum sempat peluh yang merenik di dahi akibat mendaki tangga itu kering, Sam sudah terkocoh-kocoh mengajakku ke bilik muzik. Perasaan penat dan hairan bertukar menjadi perasaan yang dinamakan kecewa apabila bilik muzik itu telah ditutup oleh pihak sekolah. Yang lebih mengejutkan lagi, ibu bapa ku yang bersepakat dengan orang tua Adam, Joey dan juga Sam untuk menukar bilik itu kepada sebuah perpustakaan dan bilik komputer.
Walaupun kedengaran agak mustahil, tapi bagi aku zaman sekarang semuanya boleh berlaku jika adanya benda yang dipanggil DUIT. Seribu kehampaan terhampar dilaman hati, apabila mendengar perkhabaran itu. Aku sangkakan, selepas perbincangan semalam, hati mama dan papa akan terbuka. Bahkan, ini pula yang berlaku. Sungguh, segala ini tidak terlangkau dek akal fikiranku. Memang aku kecewa. Ditambah pula dengan perasaan bersalah aku kepada teman-teman. Semua ini angkara mama dan papa. Satu keluhan berat tercetus lagi dari mulutku.
Waktu rehat, aku hanya merehatkan diri dipangkin berhampiran kantin. Melihat kantin yang sesak ditambah pula sesak dikepala, makin menghanyutkan nafsu makanku. Hampir dua minit termenung bersendirian, Sam menghampiriku sambil menghulurkan sekotak jus oren. Aku menyambutnya dengan senyuman yang hambar. Tidak lama selepas itu, Adam dan Joey pula yang muncul menemani kami.
Kami semua membatu seperti bangku yang sedang kami duduk ini. Semuanya bagaikan tiada modal untuk memulakan kata. Sehinggalah satu suara menyedarkan kami.
“ Assalamualaikum,” sapa suara itu.
Salam yang dihulurkan dijawab oleh kami kecuali Sam. Lupa nak bagitahu, Sam ialah seorang gadis berbangsa cina yang menganuti agama kristian. Tetapi dia lebih suka mengenakan baju kurung berbanding pinafore berwarna biru muda itu.
Kami semua mendongak. Ternyata Sir Muslim yang menegur kami. Satu senyuman yang tawar dihadiahkan kepada guru yang begitu murah dengan senyuman itu.
“ Boleh saya duduk?’ tanya beliau.
“ Eh, silalah Sir. Takkanlah kita orang nak tengok aje Sir berdiri,” balas Joey sambil mengosongkan bangku yang didudukinya tadi. Dia bergerak dan duduk disebelah Adam.
“ Saya dapat tahu pasal penutupan bilik muzik tu. Jadi sebab itulah semua orang macam ayam berak kapur aje ni?” tanya Sir Muslim.
Aku yang menopang dagu hanya mengangguk perlahan mewakili semua. Aku yang selalunya bersemangat waja turut menjadi lemau hari ini. Hebat sungguh penangan mama dan papaku.
Sir Muslim tersenyum lagi. “ Takkan dah putus asa kot? Nak seribu daya, tak nak seribu alasan. Selagi pertandingan tu belum berlangsung, selagi tu peluang masih terbuka luas. Sekarang cuma take it or leave it. Keputusan ada pada tangan masing-masing,” panjang lebar guru muda itu meniupkan bara semangat kami agar terus bernyala.
Aku menarik nafas dan meluruskan posisi badanku. Sesuatu perasaan berkobar-kobar memukul-mukul hatiku dan menyedarkan aku supaya bangkit dari kejatuhan. Hatiku terdetik, ini bukan kali pertama aku menghadapi halangan seperti ini. Sepatutnya aku bangun dari kejatuhan yang lalu, bukannya terus jatuh tanpa cuba untuk bangun lagi. Perjalanan hidupku masih panjang lagi. Betul kata Sir Muslim, gerbang peluang masih terbuka dan mengalu-alukan kedatangan kami.
“ Guys, bilik muzik memang dah tutup. Tapi, studio jamming dekat bandar ni bersepah-sepahkan? Why don’t kita practise dekat sana aje? Bezanya, kita kena keluarkan duit aje sikit. Tak ada masalahkan?” aku menyuarakan pendapat.
Muka masing-masing yang seiras dengan asam kecut sebentar tadi, kembali bersemangat semula. Joey dan Sam sudah mengangguk bak burung belatuk menunjukkan persetujuan mereka. Sementara Adam pula, hanya mengukirkan senyuman sebagai signal persetujuaanya.
Aku berpaling memandang Sir Muslim. “ Terima kasih Sir. Apa yang Sir cakap tadi memang betul. Kita orang tak sepatutnya mengalah selagi peluang masih terbuka. Satu kerugian besar kalau kita orang tak grab peluang tu,” ucapku ikhlas.
“ Saya suka tengok semangat kamu semua. Terus pejuangkan impian kamu selagi iainya tak salah di sisi agama dan ingat… jangan sesekali kurang ajar dengan ibu bapa. Macam mana sekalipun, kita kena hormat mereka. Faham?” sempat lagi Sir Muslim menyampaikan nasihatnya.
“ Faham ustaz Muslim!” jawab kami serentak. Kemudian, kami sama-sama ketawa.
“ Sejak bila pula saya jadik ustaz ni?” tanyanya pelik.
“ Dah memang nama cikgu sesuai untuk jadi ustaz. Jangan marah cikgu,nanti cepat tua,” balasku sebelum meminta diri untuk ke kelas apabila loceng sekolah nyaring berbunyi
No comments:
Post a Comment