KEESOKKAN hari, aku, Adam dan Joey berkongsi raut wajah yang sama. Keruh, tidak bermaya dan lesu. Nampaknya Sam yang harus bertindak sebagai penyelidik hari ini.
“ Apa kena dengan kau orang semua ni? Macam tengah patah hati je?” tanya Sam ketika kami berada di luar makmal sains kerana menunggu kedatangan Cikgu Noraida. Ketika itu kami berempat sedang bersila di sebelah longkang kecil yang kering.
Tanpa suara Adam mengeluarkan sepucuk sampul surat putih dari dalam buku nota sainsnya dan menghulurkan kepada Sam. Dengan muka yang tertanya-tanya Sam mengambil sampul surat itu lalu dibuka dan dibacanya.
‘ Adam, mummy percaya kamu mampu jaga diri kamu sendiri. Mummy dengan Daddy rasa kamu dah boleh hidup tanpa kami berdua. Buatlah apa yang terbaik untuk diri kamu.’
Salam, mummy dan daddy.’
Itulah isi kandungan yang tercatat di kertas putih itu. Di dalam sampul surat itu juga terdapat kad atm yang ditinggalkan untuk Adam.
“ Kau Joey?” tanya Sam. Kami semua memandang Joey pula.
“ Sebelum Subuh lagi dia orang dah pergi kerja. Aku tak sempat nak cakap apa-apa pun lagi. Dan.. duit belanja aku pun dia orang tak sediakan.” Pendek sahaja cerita Joey.
“ Kesian kau Adam, Joey. Mak ayah aku pulak, langsung tak bercakap dengan aku. Senang cerita, aku ni macam patung bernyawalah dekat rumah tu. Entahlah…” keluhku.
Serentak,kami semua mengeluh. “ Tak!” suaraku yang terkuat tu memeranjatkan semua.
“ Apa yang tak?” tanya Adam hairan.
“ Kita tak boleh macam ni. Sekarang ni, kita ibaratkan tengah bermain tarik tali dengan dia orang. Kalau kita ikutkan cara dia orang kita akan kalah. Maknanya, kita kena lawan,” usulku.
“ Lawan? Macam mana? Mogok jugak?” tanya Joey dengan dahi yang berkerut hebat.
“ Kalau kita mogok jugak, dua tahun pun masalah ni tak selesai. Kita kena buktikan pada dia orang yang kita boleh,” balasku dengan semangatnya.
“ Boleh? Boleh apa?” Sam pula menyoal. Mungkin tertanya-tanya tentang usulku.
“ Kita kena buktikan yang kita dah pun pilih jalan yang betul. Macam yang Sir Muslim cakap, kita sepatutnya tojolkan bakat yang kita ada. Kita kena tunjukkan pada mereka kebolehan kita, supaya mereka percayakan kita. Kalau kita lembik macam ni, dia orang pun tak yakin pada kita. Satu cara yang terakhir, pertandingan ni penentunya. Kita tunjukkan yang The Climb patut diberi peluang. Faham?” tanyaku selepas bercakap panjang lebar.
“ Setuju!” jawab mereka bertiga. Hisy, aku tanya faham ke tidak lain pulak yang dijawabnya. Bermakna perjuangan kami belum sampai ke jalan mati lagi. Masih ada lagi lorong harapan yang terbentang luas di hadapan dan kami akan laluinya. Demi The Climb!
No comments:
Post a Comment