Thursday, 13 September 2012

Bintang Fazrin_5


Satu minggu kemudian….

Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Panahan cahaya lampu kalimantang terus menerjah masuk ke dalam matanya. Meskipun sakit dan pedih, dia mengedipkan matanya lagi berkali-kali hinggalah dia dapat menerima pancaran cahaya tersebut. Dia cuba mengerakkan badannya, tetapi dia tidak berdaya kerana rasa sakit yang teramat sangat di kawasan perutnya. Dia mencuba lagi untuk bergerak beberapa kali hinggalah dia dapat dapat menangkap satu suara.
“ Eh, Fazrin! Bang, Fazrin dah bangun. Dia dah sedar!”
Ya, Fazrin tahu, itu suara uminya.  Dia juga tahu, dia masih di hospital, di atas katil di dalam  wadnya. Dia tidak dapat mengingati apa-apa. Yang dia tahu, dia pengsan ketika dia dibawa oleh Ridz ke atas bangunan. Menyebut sahaja nama itu, dia terus teringat akan Ridz. Dimanakah lelaki itu sekarang? Adakah masih di sini dan menantinya untuk sedar? Fazrin tertanya-tanya sendiri. Namun, dalam keadaan sekarang, tekaknya terasa kering benar. Pedih tekaknya untuk mengeluarkan sepatah perkataan pun.
Uminya yang bagaikan tahu keadaan Fazrin itu terus sahaja menuangkan segelas air putih dan menghulurkannya kepada Fazrin. Dengan lemahnya Fazrin mencapai gelas tersebut dan cuba menenguknya. Melihatkan pergerakkan Fazrin yang tidak bermaya itu, uminya terus membantu dan menyuakan gelas itu kepada Fazrin.
“ Alhamdullillah Rin dah sedar. Seminggu kami bimbangkan Rin. Langsung tak sedarkan diri. Nasib baik pembedahan tu berjaya,” kata umi tiba-tiba.
Fazrin tersentak. Seminggu? Sedar? Pembedahan? 
“ Dah berapa lama Rin pengsan?” akhirnya Fazrin bersuara.
“ Lepas aje Rin pengsan malam tu, Rin koma 2 hari. Tak lama lepas tu, doktor ada bagitahu yang dia orang dah pun dapatkan penderma hati yang sesuai untuk Rin. Lepas pembedahan tu, Rin tak sedar-sedarkan diri lagi sampailah hari ni. Umi bersyukur sangat-sangat akhirnya anak umi ni dah sembuh macam dulu.” Fazrin mendengar dengan teliti tentang apa yang diceritakan oleh uminya. 
Dalam hati, dia memanjatkan rasa syukur setinggi-tingginya kepada yang Maha Esa kerana masih lagi memanjangkan umurnya untuk terus menikmati kehidupan di atas muka bumi ini. Dia juga turut mengucapkan rasa terima kasihnya kepada penderma yang begitu baik hati kerana sudi mendermakan satu organ yang amat diperlukan olehnya. Pastinya penderma itu sudahpun pergi menghadap Illahi. Hatinya melonjak ingin tahu siapakah insan yang begitu tulus hatinya yang masih sudi memberikan sesuatu yang berharga. Dia ingin tahu siapakah yang sudi menyelamatkan nyawanya.
“ Umi, siapa penderma ni? Kita kenal?” tanya Fazrin perlahan.
“ Dah puas umi tanya siapa, tapi pihak hospital tak nak bagitahu kerana tu amanat dari arwah. Arwah dah meninggal dalam kemalangan jalan raya. Apa yang umi tahu, arwah tu salah seorang dari mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya minggu lepas,” beritahu uminya.
Mendengar sahaja uminya menyebut kemalangan jalan raya, Fazrin terus teringat akan Ridz. Jantungnya bedegup laju seiringan dengan mindanya yang sudahpun membayangkan sesuatu yang buruk.
“ Kemalangan? Kemalangan apa?” Fazrin bertanya.
“ Kemalangan besarlah jugak. Kemalangan yang tragis pernah terjadik tahun ini. Lori minyak rempuh sekumpulan mat-mat rempit yang tengah berlumba haram. Dua orang maut dan salah seorang tulah yang dermakan hatinya pada Rin. Tapi, doktor cakap, keluarganya tak nak dedahkan identiti dia. Sampai sekarang ayah dan umi langsung tak tahu siapa dia orang tu. Yang umi tahu, budak tu lelaki, muda lagi.”
Cerita yang disampaikan oleh uminya itu umpama belati yang meluru masuk menikam jantungnya sekaligus menghentikan degupannya. Di mindanya sekarang hanya terbayang nama dan wajah Ridz. Takkanlah. Takkanlah hati yang sedang berfungsi di dalam badannya ini milik Ridz. Tak, tak mungkin. Ridz dah janji dengan aku dia takkan berlumba lagi. Bukan Ridz, bukan Ridz yang dermakan hati ni. Bukan!
Fazrin menjerit-jerit di dalam hati walaupun separuh dari hatinya yakin Ridz adalah penderma rahsia itu. Jikalau bukan Ridz, takkanlah penderma itu ingin merahsiakan identitinya sampai begitu sekali. Fazrin menahan air matanya yang sudahpun bertakung di tubir mata. Untuk mencari kepastiannya, Fazrin meminta uminya untuk memanggil doktor yang selama ini menjaga dan merawatnya. Walaupun pelik dengan permintaan Fazrin itu, uminya tetap juga mencari doktor yang dimaksudkan oleh Fazrin.
Hampir lima minit menunggu dengan hati yang gundah gulana, akhirnya uminya sampai juga dengan seorang doktor yang berusia awal 30-an. Fazrin menanyakan doktor tersebut tentang Ridz. Menurut doktor itu, sewaktu Fazrin pengsan, itulah kali terakhir Ridz datang ke hospital. Sepanjang Fazrin koma dan selepas menjalani pembedahan, Ridz langsung tidak mengunjungi hospital itu lagi tidak seperti sebelumnya. Ketika ditanya mengapa, Fazrin hanya diam sahaja. Dia tidak akan menceritkan tentang rasa yang sedang mengasak hatinya sekarang ini.
Malam itu, walaupun gembira dengan kesihatannya sekarang, Fazrin masih lagi bermuram durja. Dia mendapat kehidupannya semula tetapi dia terpaksa kehilanggan seorang kawan yang amat memahaminya. Apa yang membuatkan dia bertambah sedih dan terharu adalah apabila mengenangkan hubungannya dengan Ridz tidak sampai dua bulan, tetapi Ridz sudah begitu baik terhadapnya. Malah, dia langsung tidak sempat membalas jasa-jasa Ridz. 
Duduk termenung di tingkap sambil melihat bintang-bintang dahulu adalah perkara yang paling diminati olehnya. Kini, memandang bintang di langit membuatkan dia semakin mengingati Ridz. Tiba-tiba dia teringat rantainya. Dia yakin rantai itu pasti ada pada Ridz. Ah, di mana dia ingin mencari semula rantai tersebut. Biarlah Ridz membawanya sebagai kenang-kenangan. Bintang Fazrinnya telah pergi bersama seorang sahabat yang sangat baik, sahabat yang sangat memahami dan mungkin juga sebagai seorang yang sangat disayangi dan dirindui ketika ini…