MEJA, kerusi, langsir, tingkap dan pintu. Semua dipandangnya. Kosong. Bosan. Sunyi. Itu yang dirasanya. Berkampung di hospital adalah salah satu perkara yang terjadi dalam hidupnya yang paling dibenci. Hari-hari tiada apa yang boleh dilakukan. Semuanya terbatas dan tersekat. Siapa yang ingin hidup begitu? Pagi, sarapan dihantar dan akan dimakannya. Begitu juga tengah hari dan malam. Memang membosankan. Bahkan, dia dapat mengagak pada jam berapa jururawat yang bertugas akan menolak troli berisi makananya.
Bukannya tiada siapa-siapa yang datang menjenguknya, tapi dia yang tidak mahu dijenguk. Dia sendiri yang menetapkan waktu melawatnya yang dibenarkan. Dia mahukan privasi dan ketenangan. Alasannya cuma satu, dia berasa kekok apabila semua orang terlampau mengambil berat tentang dirinya. Bukannya dia tidak berasa dihargai, tetapi dia tidak menginginkan semua itu. Mungkin orang akan mengatanya bodoh. Sekurang-kurangnya dia tidak menipu rasa hatinya sendiri. dia benar-benar tidak selesa dengan layanan itu.
Sedang dia termenung, kedengaran pintu wadnya diketuk dari luar. Rasa hairan bertamu di hati. Takkanlah nurse pula yang mengetuk pintu sebelum masuk. Selama ini tidak pernah pun berketuk-ketuk. Biasanya main redah je. Tanpa memikir panjang dia pun menjerit,
“ Masuk!”
Pintu ditolak dari luar. Dia menjenguk gerangan siapakah yang mengunjunginya. Apabila terjengul muka Ridz di situ, dia buat muka tidak berminat. Ridz masih lagi bertongkat. Tetapi dia tidak mengenakan seragam hospitalnya. Dia nampak santai dengan t-shirt dan seluar pendek separas lutut dan menampakkan buku lalinya yang masih berbalut. Lelaki itu menghampiri katilnya.
“ Hai! Lama tak nampak?” sapa Ridz.
“ Baru dua hari kau tak nampak aku kau dah kata lama? Agaknya seminggu pun kau rasa macam setahunkan?” jawab Fazrin sambil menyindir.
“ Haish kau ni. Sensitif terlebihlah pulak. Aku saja-saja tanya nak bergurau mesra pun tak boleh?” kata Ridz pula.
“ Lantak kaulah. Hm, apa kau nak? Tiba-tiba menyemak pulak kat sini?”
“ Amboi, kasarnya dialog? Aku nak ajak kau pergi satu tempat,” jawab Ridz ceria.
Fazrin mengerutkan dahinya. “ Pergi mana?”
“ Adalah. Tapi masih lagi dalam hospital ni lah. Aku nak tunjukkan kau sesuatu.” Ridz masih lagi berahsia.
“ Ek eleh. Setakat dalam hospital ni apa lagi yang kau nak rahsia-rahsia dengan aku? Nak tunjukkan aku apa? Bilik mayat?” balas Fazrin.
“ Tak ada kerjanya aku nak pergi jengah bilik mayat tu. Dahlah, tak payah nak banyak bunyik. Ikut aje lah. Kau pun tengah bosankan?” ajak Ridz.
Fazrin terdiam sejenak. Cuba menimbang-nimbangkan cadangan Ridz. Akhirnya dia bangun dan mengikut Ridz. Malas ingin banyak soal. Betul juga kata-kata Ridz, dia memang tengah dilanda monsun angin kebosanan.
INGATKAN kemanalah Ridz ingin membawanya. Rupanya di taman hospital ini sahaja. Hilang perasaan teruja Fazrin sebentar tadi. Mereka berjalan lagi sehingga tiba di tempat yang mereka duduk dua hari yang lalu. Tetapi kerusi taman itu tidak kosong. Ia dipenuhi belon yang berwarna-warni yang bergantungan dan talinya diikat di pemegang kerusi tersebut. Fazrin agak pelik dengan situasi itu, namun dia diam sahaja. Sebaik sahaja sampai di kerusi yang meriah dengan belon-belon itu, barulah Fazrin membuka mulut.
“ Siapa yang letak belon-belon ni? Ada birthday party ke?”
Ridz tersenyum. “ Asal nampak belon je birthday party? Tak boleh fikir yang lain ke?”
“ Habis tu? Takkan aku nak kata majlis tahlil pulak!” bentak Fazrin bengang.
“ Perlu ke sebut pasal majlis? Kalau saja-saja nak letak tak boleh ke?” Ridz masih lagi ingin berteka-teki.
“ Eh kau ni banyak pulak soalnya. Aku balik kang!” ugut Fazrin sekaligus menyerah kalah dengan teka-teki Ridz.
“ Okey,okey. Kau duduk dulu. Aku nak ceritakan sesuatu ni. Yang pasti kau takkan menyesal sebab ikut aku sampai sini,” beritahu Ridz. Fazrin mengambil tempat duduk manakala Ridz terus berdiri di hadapannya.
“ Dulu, masa aku kecik, aku selalu buli seorang budak perempuan yang jual belon dekat depan rumah aku. Kau nak tahu apa yang aku buat dekat dia?” Ridz memulakan ceritanya.
“ Kau nak cakap dengan aku yang kau selalu buli dia, lepas tu kau jatuh hati kat dia, then sekarang kau dah terpisah dengan dia. Kau kumpul belon ni semua sebab teringatkan dia. Macam tu? Malaslah aku nak dengar cerita jiwang-jiwang karat ni. Buang karen je,” jawab fazrin panjang lebar dengan muka yang tidak berminat.
“ Kau ni, aku tanya sepatah kau dah jawab tiga perenggan. Sabarlah sikit. Tak ada maknanya aku nak cerita-cerita jiwang ni. Bukan jiwa akulah,” nafi Ridz.
“ Habis tu? Cerita ajerlah!” balas Fazrin.
“ Aku selalu guntingkan tali-tali belon dia sebab aku suka tengok belon tu terbang ke atas. Sampaikan hari-hari bapak aku kena bayar ganti rugi,” sambung Ridz.
Fazrin tersenyum sinis. “ Dah tak ada benda lain ke kau nak buat? Suka benor menyusahkan orang. Hish…” kutuknya.
“ Aku tak kisah. Janji aku happy.”
“ Okey. Lepas tu apa tujuan kau letak belon banyak kat sini?”
“Nah!” Ridz mengeluarkan dua batang marker dari poket belakang seluarnya dan menghulurkan salah satu pada Fazrin. Dengan kening yang hampir bertaut, Fazrin menyambut huluran tersebut.
“ Nak buat apa ni?” tanyanya.
“ Budak perempuan tu ada ajar aku sesuatu. Benda nilah yang aku nak share dengan kau. Kejap ea…” Ridz mencabut sebiji belon yang elok terikat di kerusi itu dan memberinya kepada Fazrin. Kemudian, dia mencabutnya lagi dan meletakkannya di atas riba.
“ Aku nak kau tulis apa yang kau rasa sekarang pada belon ni,” beritahu Ridz.
“ Lepas tu?”
“ Lepas tu kita akan lepaskan belon ni.”
“ Untuk apa?”
Ridz menarik nafas. “ Kalau kita lepaskan belon ni, mana dia pergi? Ke ataskan? Lepas tu berkemungkinan besar dia akan pecah. Jadi, kita tulis apa yang kita rasa pada belon ni dan lepaskan dia. Lepas tu, kita kena percaya yang belon ni akan pecah macam yang kita percaya apa yang kita tulis tu akan jadi kenyataan.”
“ Macam mengarut je?” balas Fazrin ragu-ragu.
“ Aku nak kau percayakan ketentuan Allah. Kalau kita lepaskan belon ni, kita akan fikir yang dia akan naik ke atas. Tapi, tak semuanya macam tu. Mungkin nanti ada belon ni yang tersangkut pada pokok ataupun terbang ke lain atau pecah tanpa sempat naik ke atas. Aku nak kau ibaratkan belon ni adalah impian kau. Sama ada ye naik ke atas, tersangkut atau pecah, itu semua ketentuan Allah dan kau tak boleh nak ubah lagi. Kalau tak nak ia pecah, lepaskan dia betul-betul pada masa dan tempat yang sesuai. Bukan ke kita kena lepaskan impian kita pada masa yang betul?” Ridz mengakhiri penjelasannya yang penjang lebar dengan soalan.
“ Tapi, bukan ke kalau dia naik ke atas pun dia akan pecah?”
“ Sekurang-kurangnya ia sempat naik ke atas. Mungkin masa tu dia pecah pada masa yang betul.” Begitu mendalam maksud kata-kata Ridz. Terdiam Fazrin mendengarnya. Akhirnya dia mengangkat bahu dan membuka penutup marker lantas mencoretkan sesuatu di atas belon yang berwarna kuning itu. Ridz tersenyum melihat respon dari Fazrin. Lalu, dia pun berbuat perkara yang sama.
Usai menulis di belon pertamanya, Fazrin menunjuk belon itu kepada Ridz. Ridz berpaling dan membaca nota Fazrin.
‘ Aku harap mamat tu akan bagitahu aku kenapa dia buat semua ni.’
Ridz tersenyum. Dia mencoretkan sesuatu di belonnya dan menunjukkan belon itu pada Fazrin pula.
‘ Aku harap aku akan ingat untuk bagitahu minah tu kenapa aku buat semua ni. :p’
Fazrin mencebikkan bibirnya. Dia mencapai pula belon yang kedua. Baru sahaja mata marker itu menyentuh kulit belon tersebut, POP! Belon itu pecah. Berderai ketawa kedua-duanya. Makin lama, makin seronok pula dua sahabat itu menulis di atas belon yang berwarna-warni. Ada kalanya mereka saling menunjukkan apa yang mereka tulis di belon. Tidak kurang juga mereka saling mengejek atau mentertawakan tentang apa yang ditulis di atas belon masing-masing.
Hingga ke belon yang terakhir Fazrin begitu khusyuk menulis sambil tersenyum-senyum. Kemudian dia menunjukkan belon itu kepada Ridz. Apa yang ditulis di belon itu ialah:
‘ Aku nak Ridz berhenti merempit. Sebab nanti dah tak ada orang nak tolong bawak dia pergi hospital. Dalam dunia ni aku jer yang baik hati nak tolong dia.’
Walaupun kelihatan seperti dia sedang bergurau, namun dia serius tentang apa yang ditulisnya. Dia tidak mahu anak muda seperti Ridz menjadi sampah masyarakat.
Ridz tidak berkata apa tentang mesej Fazrin itu. Sebaliknya dia menunjukkan pula belon terakhirnya pada Fazrin yang bertulis;
‘ Aku harap Fazrin sembuh sebab aku nak dia tahu, di sebaliknya hujan yang lebat, masih lagi ada mentari!
Tersentuh pula Fazrin membacanya. Dia dapat mengagak, Ridz melakukan ini untuk mengembirakkanya setelah mengetahui tentang kisah sedih hidupnya semalam.
“ Dah siap?” soalan Ridz menyetakkan Fazrin. Dia mengangguk dan mengikut Ridz yang sudahpun berdiri dan berjalan beberapa langkah ke hadapan sambil membawa ‘belon harapan’ mereka. Fazrin berdiri beberapa meter jauh dari Ridz.
“ Okey, kita lepas sama-sama. Satu,” Ridz menghitung.
“Dua,tiga!”
Berebut-rebut belon yang pelbagai warna itu terbang ke atas. Ada yang saling berlaga. Tapi, semuanya naik ke nun awan yang tinggi. Fazrin dan Ridz sama-sama mendongak melihat ‘belon harapan’ mereka yang sedang naik ke atas. Mengharapkan ia pecah ketika berada di tempat yang betul-betul tinggi!
Fazrin akui, seronok pula rasanya melihat belon yang berwarna-warni itu naik ke atas. Mungkin inilah perasaan yang Ridz rasa ketika melihat belon-belon itu menari-nari di kaki awan. Tidak hairanlah jika lelaki itu menyukainya. Sekarang, mungkin dia pula yang sudah mula menyukai perkara yang sama. Tanpa sedar bibirnya membuahkan senyum. Tenang! Lega! Itulah yang dirasakannya di petang hari yang ditemani sang bayu petang! Betul kata Ridz, dia memang tidak menyesal kerana mengikutnya. Ya! Dia tidak akan menyesal!