Thursday, 9 August 2012

Bintang Fazrin_2


PANAHAN cahaya yang menerobos masuk menerjah matanya menyebabkan dia mengelip-ngelipkan matanya berulang kali. Terasa silau sungguh melihat cahaya lampu kalimantang itu. Tambahan pula dia duduk di dalam bilik yang bercat putih. Apabila pandangan matanya sudah dapat menerima panahan cahaya, barulah dia dapat melihat keadaan sekelilingnya. Melihat sahaja bilik ini, dia dapat mengagak bahawa dia sekarang berada di dalam hospital. Kejadian semalam masih segar di ingatannya.
Ternyata dia tidak keseorangan. Ada seorang jururawat sedang mengemaskan meja kecil disebelah katilnya. Bunyi katil yang berkeriut menyebabkan jururawat yang kusyuk mengemas itu berpaling memandangnya. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat pesakit yang cukup dikenali itu.
“ Selamat pagi Encik Haris. Encik Haris nak sarapan? Nanti saya boleh hidangkan,” sapa jururawat yang memakai tanda nama Aishah itu mesra.
Haris mengeleng. “ Tolong ambilkan saya air. Saya dahaga. Boleh ambilkan tongkat tu?”
Aishah menuang air putih ke dalam gelas dan menghulurkannya kepada Haris. Selepas itu dia mengambil pula tongkat yang tersandar elok di dinding. Dia memerhatikan Haris yang rakus meneguk air itu seolah-olah sudah setahun tidak diberi minum. Kemudian dia menyambut pula huluran gelas yang sudah kosong daripada Haris.
Dengan bantuan tongkat, Haris perlahan-lahan bangun dan turun dari katilnya. Aishah berasa was-was untuk membantu kerana dia tahu, pesakitnya ini lain sikit perangainya. Sebagai langkah yang lebih baik adalah, tengok sahaja.
“ Encik Haris pasti ke ni? Kaki encik tak boleh banyak bergerak sangat. Nanti lagi teruk,” pesan Aishah lembut walaupun di tahu nasihatnya hanya ibarat dicurahkan air di daun keladi. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri tanpa sempat singgah di kepala otaknya.
Haris hanya mendiamkan diri sehinggalah dia berada di luar biliknya. Dia berpaling dan memandang jururawat yang menjaganya tadi.
“ Jangan risau, saya okey. Lagi satu, jangan panggil saya Haris. Nama saya Ridzwan. Just call me Ridz.”
Jururawat itu hanya terkebil-kebil sambil melihat Ridz yang semakin menjauh meninggalkan kamar wadnya.

Dengan bantuan tongkat, Ridz berjalan dari satu koridor ke koridor yang lain. Nama yang berlegar-legar di dalam kepalanya sekarang membawa dia mengikut sahaja gerak langkah kakinya. Tiba di hadapan bilik 35A dia berhenti lantaran nama yang disebut oleh satu suara terdengar di pendengarannya. Nama yang sekarang sedang berlagu di dalam kepalanya. Lantas dia menelinga di hadapan pintu yang bertutup itu.
“ Fazrin, ni umi ada bawakkan nasi lemak. Faz belum sarapan lagikan? Nanti makan ye, tak elok biarkan perut tu kosong. Nanti masuk angin.” Kedengaran suara wanita yang begitu lembut sedang berkata-kata.
Ridz menunggu suara lancang itu menjawab kata-kata wanita itu, namun hampa. Suara itu tidak kedengaran. Bosan dengan perbualan yang tidak menarik itu, Ridz mengundur setapak ke belakang. Tanpa sedar dia hampir terlanggar seorang jururawat yang kebetulan sedang lalu di belakangnya.
“ Eh, sorry. Saya tak sengaja. Tak nampak,” kata Ridz kelam-kabut.
Jururawat itu hanya tersenyum manis. “ Tak apa, saya okey. Encik tak apa-apa ke?”
“ Saya okey. Tapi, boleh saya tanya sikit?” kata Ridz.
“ Ya, boleh. Encik nak apa-apa ke?”
“ Saya nak tanya, awak tahu patient dalam ni sakit apa?”
“ Oh Fazrin. Dia dah lama jadi patient di sini. Dia salah seorang pesakit kanser. Dia menghidap kanser hati dan sedang menunggu penderma organ. Kanser dia sekarang dah sampai tahap 3,” jawab jururawat itu. Sayu sahaja kedengaran suaranya.
Ridz terkedu seketika. Kanser? Bukannya penyakit yang calang-calang tu. Penyakit yang diibaratkan sebagai pintu gerbang kepada maut.
“ Encik….” Panggilan jururawat itiu mengembalikan Ridz ke dunia nyata.
“ Er, terima kasih nurse,” ucap Ridz. Jururawat itu hanya mengangguk sambil tersenyum sebelum melangkah pergi.
Ridz duduk di salah satu bangku yang disediakan sepanjang koridor itu. Makin banyak pula soalan-soalan yang tercoret di benaknya. Semalam aku ada dengar, nurse tu cakap yang minah tu lari dari hospital. Kalau dah sakit kritikal macam tu, kenapa pulak di lari dari hospital? Pelik betul minah ni. Sempat lagi Ridz mengutuk.
Bunyi pintu berkeriut menyebabkan Ridz mendongak. Kelihatan sepasang suami isteri baru sahaja melangkah keluar dari bilik Fazrin. Mungkin mereka mahu ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Ridz masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia berkira-kira sendiri sama ada mahu masuk atau tidak untuk menemui Fazrin. Sesungguhnya dia ingin berterima kasih atas kesudian Fazrin membantunya semalam. Jika dia lewat di hantarkan ke hospital semalam, sudah tentu hari ini dia akan terbaring kaku kerana dia telah banyak kehilangan darah.
Sedang Ridz sibuk melayani monolongnya, sekali lagi kedengaran bunyi pintu ditolak. Ridz mendongak dan dia melihat Fazrin sedang berjalan keluar sambil membawa sebuah kotak sederhana besar berwarna biru. Tanpa bertangguh Ridz terus bangun dari duduknya dan mengejar langkah Fazrin.
“ Eh! Tunggu sekejap!” laung Ridz dari belakang.
Fazrin berpaling dengan kening yang terjongket ke atas. Dia hanya memerhatikan Ridz yang terhincut-hincut berjalan menghampirinya.
“ Kau. Hidup lagi rupanya. Kau nak apa?” selamba Fazrin bertanya.
“ Kau nak pergi mana?” tanpa menjawab soalan Fazrin Ridz bertanya semula.
“ Aku nak peri melawat rumah aku ni. Kenapa?”
“ Aku nak ikut. Aku tak pernah masuk hospital ni, jadi aku nak kenallah kawasan hospital ni,” bohong Ridz. Padahal inilah hospital di mana ayahnya pernah ditempatkan untuk bertugas di sini. Apalah salahnya, dia hanya ingin mengenali Fazrin.
“ Lantak kaulah. Hospital ni pun bukannya aku yang punya,” kata Fazrin sambil menyambung semula langkahnya yang terhenti tadi. Dia tahu, Ridz hanya mengikut dibelakangnya.
Setelah membelok beberapa kali ke kiri dan ke kanan, akhirnya mereka berdua berhenti di hadapan wad kanak-kanak. Seperti biasa, Fazrin menolak pintu kaca yang berkilat itu dan terus masuk kedalamnya diikuti oleh Ridz. Bagi Fazrin, wad ini sudah biasa dikunjunginya. Namun bagi Ridz, ini adalah kali pertamanya kakinya dijejakkan di sini. Terpegun sebentar dia melihat dinding-dinding yang cantik bercat dengan mural kartun-kartun yang terkenal. Warna cadar dan bantal pesakit juga sungguh meriah sekali. Sesuai dengan penghuni kecilnya.
Ridz hanya melihat Fazrin yang leka mengagihkan barangan dari dalam kotak yang dibawanya tadi kepada kanak-kanak yang terdapat di dalam wad ini. Lalu, Ridz mengambil tempat duduk di atas sofa yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk tadi. Memandangkan dia tidak ada apa-apa untuk dibuat, dia hanya memerhatikan Fazrin yang sedang mengagihkan pelbgai barang dari dalam kotak yang dibawanya tadi kepada penuhuni-penhuni kecil di sini. Banyak juga barang yang dikeluarkan dari kotak yang sederhana besar itu. Apa yang dapat Ridz lihat, Fazrin mengeluarkan komik, novel dan pebagai lagi buku yang lain. Tidak kurang juga boneka-boneka dan anak patung yang comel. Ralit sebentar Ridz memerhatikan suasana yang ceria itu.
Hampir 20 puluh minit juga dia menunggu Fazrin menghabiskan kerja amalnya. Akhirnya Fazrin mengemaskan kotaknya yang sudah kosong itu dan berjalan ke pintu. Melihat Fazrin yang sedang berjalan pergi itu, Ridz dengan pantasnya juga bangun dari duduknya dan mengikut Fazrin. Berada di koridor itu, Fazrin berjalan dengan pantas sekali. Pada awalnya Ridz hanya mengikut tanpa mengeluarkan suaranya. Tetapi, melihat Fazrin yang semakin jauh, dia memangil juga.
“ Eh,tunggu la kejap!” jeritnya.
Fazrin berhenti dan berpaling ke belakang. “ Kau ni dah tak ada kerja lain ke? Rajin pulak nak mengekor aku ke hulur-hilir?”
Ridz berjalan selaju mungkin untuk berdiri di hadapan Fazrin yang jauh sedepa darinya.
“ Aku bosanlah duduk sorang-sorang dekat hospital ni. Kau aje yang aku kenal. Aku kacaulah. Kenapa? Tak boleh?”
“ A’ah. Aku tak kenal kau,” jawab Fazrin pendek.
“ Erm, kalau macam tu biar aku kenalkan diri aku. Nama aku Ridzwan. Tapi, panggil Ridz je. Nama kau Fazrin kan?” kata Ridz.
“ Dah tahu buat-buat tanya pulak.” Fazrin menjawab acuh tak acuh dan mula mengorak langkah semula. Seperti tadi, Ridz hanya mengikut.  Entah kemana destinasinya Ridz tidak tahu. Yang dia sedang fikirkan sekarang, macam mana hendak memulakan perbualan dengan Fazrin yang amat becok semalam. Tetapi hari ini mulut itu tertutup pulak.
“ Aku nak tanya sikit boleh?” Ridz memulakan pertanyaan.
“ Erm??” balas Fazrin.
“ Mana kau dapat barang untuk derma pada budak-budak tadi?” tanya Ridz.
“ Itu semua barang-barang aku.” Pendek jawapan Fazrin.
“ Barang-barang kau? Habis tu kenapa derma? Nampak macam barang baru je?”
“ Orang yang dah nak mati macam aku ni, dah tak ada guna laginya nak simpan barang-barang tu. Daripada kena buang nanti, baik aku derma. Tambah saham pahala. Lagi bagus,” jawab Fazrin panjang.
Ridz terkedu. Tak sangka pula jawapan itu yang diterima daripada Fazrin. Terasa hatikah dia? Atau soalannya menguris hati.
“ Aku tak maksudkan macam tu. Cuma aku tengok barang-barang yang kau derma tu macam barang-barang yang baru aje lagi. Sebab tu aku hairan, aku tanyalah,” jelas Ridz.
Ketika itu, mereka sudahpun sampai di taman belakang hospital. Pagi-pagi begini, memang ramai pesakit berlegar di sini. Ada yang berjalan-jalan, membuat senaman tak kurang juga yang menikmati sarapan di luar. Fazrin mengambil tempat duduk di atas bangku taman yang kosong. Sekadar untuk mengambil angin yang sedang bertiup lembut. Ridz tidak duduk, sebaliknya dia hanya bediri di sebelah kerusi yang diduduki Fazrin.
“ Barang baru atau lama pun, aku dah tak nak guna. Takkan nak simpan jadik pekasam?” barulah Fazrin menjawab soalan yang tergantung tadi.
“ Aku dapat rasakan yang barang-barang tu hadiah dari kawan-kawan dan keluarga kau kan?”
“ Bukan setakat kau aje, semua orang pun akan fikir macam tu. Sesiapa aje yang sakit, berebut-rebut orang nak bagi hadiah dan macam-macam lagi. Macam tak sabar-sabar nak tunggu orang tu mati aje,” luah Fazrin.
Sekali lagi Ridz terdiam dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Fazrin. Gadis ini suka benar menyebut perkataan mati.
“ Maknanya, kau nak cakap yang kawan-kawan,keluarga atau orang yang bagi kau hadiah tu tak sabar nak tunggu kau mati? Pelik betul cara kau fikir ni. Dah tentulah dia orang semua buat semua ni untuk ceriakan, untuk hiburkan kau. Dia orang nak kau bersemangat untuk lawan penyakit kau tu. Tak baik kau bersangka buruk pada orang lain.” Tidak semena-mena Ridz memberinya nasihat panjang lebar.
Fazrin tersenyum sinis. “ Kenapa dia orang nak hiburkan aku? Kenapa dia orang ceriakan aku?”
“ Kau boleh tanya soalan tu? Dah tentulah sebab dia orang sayangkan kau,” jawab Ridz sedikit kuat. Masakan Fazrin tidak boleh melihat orang yang menyayanginya? Selama ini dia tidak pernah merasakan kasih sayang dari keluarganya. Sejak usianya meniti awal 20-an ini, seminggu hanya sekali sahaja dia dapat bertembung muka dengan ayah dan ibunya. Itupun hanya untuk beberapa jam sahaja. Jika dia berada di tempat Fazrin, sudah tentunya dia berasa seronok dilayan bagaikan anak emas oleh keluarganya sendiri. Takkanlah Fazrin tidak bersyukur dengan nikmat yang cukup besar itu? Ridz bermonolog serius.
“ Sayang? Sayang yang tak ikhlas?” tanya Fazrin lagi.
Kali ini Ridz mengerutkan dahi dan memandang Fazrin dengan pandangan yang meminta satu penjelasan. “ Apa maksud kau?”
“ Apa kau rasa bila kau sedih, dan kau sorang-sorang? Apa yang kau rasa bila orang tak pernah nak dengar kau? Apa kau rasa bila orang tak pernah nak tolong kau? Apa kau rasa bila orang tak pernah nak fikirkan perasaan kau? Apa juga yang kau rasa bila kau sunyi? Bila kau perlukan teman, tapi tak pernah ada seorang pun yang sudi? Sakitkan?” Fazrin melontarkan soalannya satu-persatu. Seperti tanggapannya, Ridz memang terdiam mendengarnya. Tanpa menunggu jawapan Ridz, Fazrin menyambung lagi.
“ Bila kau dah terlantar sakit, kau tak sedih pun ada orang yang teman. Bila kau sakit, kau tak minta tolong pun orang tetap nak tolong. Bila kau sakit, kau tak minta apa pun, dia orang tetap bagi macam-macam pada kau. Apa maknanya tu? Sayang? Ambil berat? Kalau sayang, kalau ambil berat, kenapa nak tunggu bila dah sakit? Bila dah nak mati? Ikhlas ke tu?”
“ Tapi dia orang bukan orang lain, keluarga kau sendiri jugakkan. Dia orang kawan-kawan kau.” Ridz mencelah.
“ Tittle keluarga bukan lesen untuk perasaan tu jadi ikhlas. Yang penting hati. Selama ni, aku harapkan perhatian daripada dia orang. Tapi harapan aku tu cuma tinggal harapan sampaikan aku dah tak nak lagi perhatian dia orang. Aku nak dari mula-mula aku hidup, aku sentiasa di temani. Aku tak dia orang teman aku dekat tepi katil hospital. Aku tak nak! Tapi itulah yang dia orang bagi pada aku. Dia orang tak bagi apa yang aku nak, sebaliknya dia orang bagi apa yang aku tak nak. Aku redha, dan kalau berpeluang, aku memang nak ucapkan terima kasih sebab dia orang masih lagi terbuka hati untuk teman aku. Biar pun dia orang buat semua tu semata-mata sebab kesiankan aku,” luah Fazrin lagi. Air mata yang gugur secara spontan diseka lembut.
Ridz hanya mendiamkan diri. Dia cuba merumuskan kata-kata Fazrin dan memahaminya. Selama ini, Ridz tidak pernah dibelai ataupun bergurau mesra dengan ibu bapanya. Makan pakainya semua diserahkan kepada orang gaji yang langsung tidak ada pertalian darah. Dilahirkan sebagai anak kepada seorang pakar perubatan dan ahli perniagaan bertaraf antarabangsa langsung tidak memberinya secebis kebahagiaan. Meskipun,harta dan kekayaan melimpah-ruah. Dia lebih rela hidup sebagai mat rempit dan menyara hidup dengan hasil titik peluhnya sendiri. Asalkan dia tidak kesunyian dan kesepian. Yang penting jiwanya terisi.
Terlintas di fikiran Ridz, andai dia yang terlantar sakit dan menghitung hari hidupnya, mungkinkah saat itu ibu bapanya sanggup meninggalkan urusan kerja yang bernilai jutaan ringgit deminya? Mungkin orang akan pandang itu sebagai satu pengorbanan ibu bapa terhadap anaknya. Tapi persoalannya, kenapa baru waktu itu? Kenapa baru hendak menghadiahkan pengorbanan di hujung-hujung nyawa anak sendiri? Manusia memang suka menyesal di kemudian hari. Andai mereka ikhlas sekalipun, mereka mungkin terlambat.
Bunyi esakan Fazrin menyedarkan Ridz dan mengembalikannya ke alam nyata. Dia menoleh memandang Fazrin yang sedang mengelap mukanya yang basah dengan air mata. Dia jatuh kasihan kepada seraut wajah itu. Fazrin mungkin belum puas untuk hidup lagi di muka bumi ini. Tapi, dia sudahpun menggalas dugaan hebat.
“ Tak pasal-pasal pulak aku menangis depan kau,” kata Fazrin tiba-tiba.
“ Kenapa? Malu?” tanya Ridz.
“ Taklah. Rasa macam tak patut pun ada,” jawab Fazrin.
“ Tak patut? Kenapa pulak?”
“ Aku tak kenal kau. Tup-tup aku buat sesi luahan perasaan pulak dengan kau. Memang peliklah tu kot.”
“ Tak ada yang peliknya. Kau tu mulut tempayan kot. Tak reti nak simpan rahsia sendiri. Dengan orang yang kau tak kenal pun kau boleh cerita.” Ridz berkata selamba.
Fazrin tersentap dengan kata-kata Ridz. “ Kurang ajar. Celopar betul mulut kau ni ek? Mengidam nak kena ganyang ke mulut tu?  Cis, menyesal aku!”
Ridz tersenyum. Tercetus di hatinya, Fazrin memang seorang yang tabah. Baru tadi dia menangis, kini sudah boleh berlaser dengannya pulak. Ridz makin seronok untuk ‘berdebat’.
“ Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah,” balas Ridz.
“ Hish, bila masa pula aku main perahu ni? Tak payah nak berperibahasa sangatlah. Baik aku masuk makan lagi bagus!” balas Fazrin seraya bangun dari duduknya.
“ Kesian aku…” keluh Ridz tiba-tiba. Satyu benar nada suaranya. Fazrin memandangnya.
“ Kenapa pulak kau ni?”
“ Dari tadi aku berdiri tadah telinga. Tak ada yang nak pelawa aku makan. Belanja-belanja minum ke,” keluh Ridz lagi.
“ Jangan nak banyak songeh. Kau tu yang mengada-ngada nak mengekor aku. Lagi satu, siapa yang suruh kau berdiri dekat situ? Ada aku suruh? Takkan? Lepas tu, aku tak suruh pun kau dengar apa yang aku cakap tadi. Tapi, kau tu yang memang busybody. Macam pompuan!” bebel Fazrin.
Ridz tidak ambil peduli jauh sekali untuk ambil hati. Mulut becok Fazrin yang hilang tadi sudah ditemui. “ Yelah, aku jelah yang salah. Dahlah, dari layan kau bukannya kenyang pun. Baik aku masuk makan. Lagi bagus.”
Fazrin mengetap gigi menahan geram. Lantas dia berjalan menyaingi Ridz. “ Nasib baiklah aku ni baik hati lagi. Kalau tak. Aku patahkan kaki kau tu biarkan kau merangkak masuk dalam hospital! Dahlah, memang tak ada guna bertekak dengan kau ni. Lambat!”
Dia berjalan laju dan meninggalkan Ridz keseorangan di belakang. Ridz tersenyum lebar. Tidak salah keputusan yang di ambilnya tadi untuk mengenali Fazrin. Dia senang dengan gadis itu. Hatinya terasa sesuata. Rasa apa itu? Biarlah rahsia.
Dia meranangkan sesuatu. Memandangkan dia belum mengucapkan lagi ucapan terima kasihnya pada Fazrin, jadi dia akan mengucapkannya dengan cara yang tersendiri. Tanpa sedar dia tersenyum lagi. Tidak sabar rasanya menanti esok. Namun, perutnya yang sudah berkaraoke minta diisi harus dilayan dahulu. Lantas dia berjalan semula menuju ke wadnya. Waktu makan tengah hari sudah tiba!

Bintang Fazrin_1



SUASANA didalam kelas yang bagaikan pasar tidak menganggu tumpuannya membelek senaskah majalah yang dipinjam dari rakannya pagi tadi. Apa yang pasti, dia begitu tertarik dengan bahagian gadjet yang terdapat di dalam majalah itu. Helaian majalah yang memaparkan iklan-iklan telefon bimbit dibeleknya dengan penuh minat. Sejak telefonnya dahulu rosak, dia sudah lama mengidamkan telefon baharu. Tambahan pula, telefon masa kini semakin canggih dan menarik. Tetapi dia tidak memilih yang harganya mencecah ribuan ringgit. Cukuplah yang biasa-biasa sahaja. Dia bukannya lahir di atas dulang emas dan mampu memiliki segala yang diinginkan.
“ Hoi!! Faz?? Kau tengok apa tu?” Entah suara siapa yang memanggilnya itu. Namun, kuatnya mampu mengugurkan jantung. Fazrin berpaling ke belakang. Ternyata Zizi yang memanggilnya dari luar kelas. Rakannya itu hanya tersengih menayangkan giginya.
“ Yang kau menjerit-jerit tu kenapa? Kacau betullah,” rungut Fazrin dengan suara yang hampir sama kuatnya dengan suara Zizi tadi. Majalah tadi dibeleknya semula. Tidak lama selepas itu, kerusi di hadapannya diduduki oleh Zizi.
“ Apa yang kau tengok tu? Khusyuk semacam aje?” Zizi menyoal. Majalah dipegangan Fazrin ditinjaunya sedikit.
Fazrin diam. “ Oh, majalah handphone rupanya. Nak beli yang baru ke?” soalan Zizi kedengaran lagi.
Barulah Fazrin mendongak. Dia tersenyum dan mengangguk. “ A’ah. Susahlah tak ada handphone. Aku ingat nak minta mak aku belikan. Lagipun, tak lama lagikan birthday aku.”
Zizi meletakkan jari telunjuknya di dagu seolah-olah sedang berfikir. “Yelah. Hari ni 20 haribulan satu. Hari jadi kau 25 haribulan kan?”
“ Ye, pandai kau.” Fazrin membalas. Belum sempat mereka ingin bersembang lagi, ustazah Sakinah telah pun melangkah masuk ke dalam kelas. Zizi dan pelajar yang lain kelam-kabut kembali ke tempat masing-masing. Fazrin lekas-lekas menyimpan kembali majalah tadi ke bawah meja.


FAZRIN memangkah nombor empat di kalendar bulan Mac dua ribu dua belas. Setiap hari dia menghitung hari dan menanti tarikh di mana sekolah akan ditutup. Baginya, alam yang paling membosankan adalah alam persekolahan. Meskipun kebanyakkan pelajar menganggap tahun di tingkatan empat merupakan tahun untuk berbulan madu. Tetapi baginya yang merupakan pelajar harapan sekolah, setiap hari dia mesti memberikan komitmen yang baik dalam pelajaran dan menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap peperiksaan.
Suasana di dalam kelas tanpa seorang guru pastinya hingar bingar. Dia tidak hirau dan tidak ingin turut serta rakan-rakannya yang sedang sibuk bersembang seperti mak cik-mak cik di kawasan perumahannya. Dia merenung ke luar tingkap, hari ini hatinya keluh kesah.  Semalam dia baru sahaja menerima keputusan pemeriksaan kesihatannya di hospital. Apa yang diterimanya sungguh mengejutkan. Tetapi dia tidak tahu kepada siapa ingin dia meluahkan rasa hatinya yang sedang gundah-gulana ini.
Ketenangannya yang baru ingin dinikmati diganggu dengan kedatangan Syuhada dengan muka yang sembab dan hidung yang merah. Tanpa diberitahu Fazrin dapat mengagak gadis itu baru sahaja sudah menangis. Fazrin tahu, dia harus bersiap sedia menjadi pendengar yang setia untuk Syuhada. Selama ini, rakan-rakannya tidak pernah menbuka telinga untuk mendengarnya, tetapi biarlah dia yang menjadi pendengar setia untuk teman-temannya.



Beberapa  bulan kemudian…

Jam sudahpun menunjukkan tepat pukul 6.30 petang. Lagi satu jam, pastinya azan maghrib akan berkumandang. Fazrin mendongak memandang langit yang beransur kelam. Meskipun berjalan berseorangan di sini, dia tidak gentar kerana kereta tidak putus-putus di atas jalan raya. Bukan sahaja kereta, mat-mat motor yang sedang merempit juga tidak ketinggalan. Pelbagai gaya dan aksi yang mereka tunjukkan meskipun orang lain hanya akan mencaci dan memaki mereka. Tidak ketinggalan juga bunyi enjin motor kapcai mereka yang menyakitkan telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“ Ish budak-budak ni, tak takut mati ke? Agak-agak dah puas hidup sangat ke?” bebel Fazrin.
Tidak putus-putus motor mat-mat rempit yang lalu disebelahnya. Lajunya motor itu tidak usah ditanya bagaikan pelesit.
“ Mintak-mintaklah ada yang jatuh tergolek depan aku ni seorang. Biar aku sekolahkan dia cukup-cukup. Memang dasar tak ada sivik betullah,” tambahnya lagi.Bagaikan sumpahan si ibu tanggang, kata-kata Fazrin menjadi kenyataan apabila sebuah motor EX5 putih yang sedang memecut laju bagaikan kehilangan kawalan sebelum pemboncengnya jatuh tergolek beberapa meter dari tempat Fazrin berdiri.
“ Aduh!” kedengaran suara mangsa mengerang kesakitan. Darah merah sudah mula keluar membasahi lutut dan sikunya.
Tanpa rasa bersalah dan belas kasihan, Fazrin ketawa terbahak-bahak sambil berjalan menghampiri pemuda yang masih lagi terbaring itu.
“ Amacam bro? Sedap? Sakit tak?” tanya Fazrin dengan nada menyindir.
“ Itulah kau, yang pergi cari penyakit tu kenapa? Nasib tak kena gilis dengan lori balak tadi,” tambah Fazrin lagi sambil ketawa.
Pemuda tadi membuka helmetnya yang berwarna hitam. Dia merenung Fazrin dengan tajamnya. “ Aku sakit pun, ada kena mengena dengan kau ke? Yang kau menyibuk dekat sini kenapa?” balas lelaki itu kasar.
Herdikan lelaki itu tidak langsung mengetarkan Fazrin. Malah, dia mengukirkan senyuman dengan lebarnya lagi.  “ Alah, dia tengah malu, nak marah-marah orang pulak. Jangan risau, tak ada siapa-siapa pun kat sini. Kurang sikit rasa malu kau kan. Yelah, ingatkan teror sangat berlumba tadi, tup-tup tergolek macam nangka buruk yang busuk dekat sini. Malang betul ek?” tambah Fazrin lagi dengan ketawa mengejeknya.
Bertambah bahang di hati lelaki itu dengan kata-kata Fazrin.
“ Eh, perempuan! Kau jangan ingat kau bagus sangatlah. Dah tahu ada orang tengah sakit ni, bukannya reti nak tolong. Ni nak membebel pulak.”
Ketawa Fazrin mati. Lelaki itu direnungnya tajam. “ Kau ni memang kurang ajarkan. Eh, asal kau hidup lagi? Kenapa tergolek tadi tak terus gol je? Sihat menyusahkan orang, dah sakit tak reti nak insaf pulak tu, hairan aku.”
“ Apa yang kau membebel lagi tu? Tak reti-reti ke nak tolong aku ni? Ke kau tak nampak aku yang tengah sakit ni? Rabun?” jerit lelaki itu.
‘ Banyak mulut betul minah ni,’ sempat lagi dia merungut. Kaki, tangan dan kepalanya sudah mula berdenyut-denyut menahan rasa sakit yang teramat.
“ Itulah kau. Orang suruh belajar tak nak. Memang sah muka tak tahu malu, nak minta tolong dengan aku tapi menjerit-jerit. Kau ingat aku ni siapa, bibik? Amah kau? Banyak masa pulak aku nak tolong orang yang tak ada adab macam kau ni. Malam sikit,” balas Fazrin sambil mengorak langkah untuk pergi.
Lelaki itu gelisah. Takkanlah dia ingin berjalan sendiri ke hospital dengan keadaan seperti ini? Rasanya kakinya sudah terseliuh dan teramat sakit. Tambahan pula, lututnya luka agak teruk kerana terseret di atas jalan tadi. Perasaan malu dan ego ditolak tepi dahulu.
“ Wei tolonglah. Aku betul-betul tengah sakit ni, aku Cuma mintak kau tolong panggilkan ambulan aje.” kedengaran suara lelaki itu merintih.
Kasihan pula Fazrin mendengarnya. Dengan rasa perikemanusiaan yang masih bersisa di dalam hati, dia berpaling dan melangkah semula ke arah pemuda yang masih terbaring itu.
“ Kau tak cakap pun, aku tahu kau tengah sakit. Tunggu sekejap,” katanya sambil mengeluarkan telefon bimbit dari seluar jeans yang dipakainya.
Selepas itu, Fazrin duduk bertingung sementara menanti ambulan yang dihubungi sampai.
“ Apa yang kau buat lagi dekat sini lagi?” tanya lelaki itu tiba-tiba.
“ Menghalau nampak. Aku ni manusia yang prihatin tau tak? Takkan aku nak tinggalkan kau dekat sini. Kalau kena makan dek rimau ke, kena larikan dengan bunian ke tak ke naya? Kau ingat aku nak sangat duduk sini maghrib-maghrib ni? Bersyukurlah sikit,” jawab Fazrin panjang lebar walaupun soalan yang ditanya panjangnya tidak sampai sejengkal. Nampak sangat Fazrin ini becok orangnya.
Tetapi, jikalau sesiapa pun yang berada di tempat Fazrin sekarang, pasti akan melakukan perkara yang sama. Siapa yang tega ingin meninggalkan seorang mangsa kemalangan di jalan yang sudah semakin sunyi di remang senja sebegini?
Tidak lama kemudian, Fazrin sudah menampar lengannya yang sudah mula dihinggapi oleh nyamuk yang kelaparan. Dia sudah merungut-rungut sendirian.
“ Hish, banyak betul nyamuk dekat sini. Kau ni pun satu, yang pergi eksiden dekat sini kenapa? Eksidenlah dekat jalan raya ke, ramai sikit yang boleh tolong kau. Ini tak, depan kaki aku nilah kau nak tergolek. Tak pasal-pasal aku pun terbabit sama tercongok dekat sini.” Fazrin yang sememangnya becok itu sudah mula membebel.
Lelaki tadi nampaknya sudah tiada daya untuk mencantas bebelan Fazrin yang sememangya ditujukan kepadanya itu.  Kaki dan kepalanya sudah mula berdenyut kuat. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Lama sungguh rasanya menanti ambulan di saat sedang sakit begini.
Lama suasana di antara mereka senyap sunyi sehinggalah tiba-tiba Fazrin tersedar sesuatu.
“Eh, kalau kau pergi hospital nanti, motor kau macam mana? Nak tinggalkan dekat sini?” dia memandang motor EX5 putih yang tersidai di tepi jalan itu. Tiada kerosakan teruk yang berlaku. Cermin sisinya sahaja yang pecah.
“ Em… biarkan ajelah dekat sini,” jawab lelaki itu lemah.
Fazrin memuncungkan bibirnya seolah-olah sedang berfikir. “ Mana boleh macam tu. Aku telefonkan polis nak?” usulnya.
“ Jangan! Roadtax dengan lesen aku dah mati. Nanti tak pasal-pasal jadik kes polis pulak,” sanggah lelaki itu pantas. Yerlah, siapa yang tidak takut selepas membuat kesalahan jalan raya dan ingin dibawa pula ke polis. Jangan main gilo!
Fazrin ketawa mengejek. “ Lain kali jangan pandai-pandai nak berlumba. Lesen tak ada, sebut polis tahu pulak takut.”
Bunyi siren ambulan yang sayup-sayupp kedengaran menyelamatkan lelaki itu daripada mendengar lagi ejekan dan sindiran Fazrin. Semakin lama semakin kuat bunyinya hinggalah ambulan putih yang bertulisan merah itu berhenti betul-betul di hadapan mereka. Fazrin bangun dari duduknya dan melihat dua orang jururawat lelaki mengeluarkan strecher dari dalam van lantas mengangkat pemuda tadi lalu meletakkanya di atas strecher itu. Dia senyap sahaja hinggalah satu suara dari dalam van itu menegurnya.
“ Eh Fazrin. Bila kamu keluar dari hospital?” tanya jururawat wanita yang berbadan gempal itu.
Fazrin mendongak memandang si empunya suara.
“ Tadi.” Dia menjawab sepatah.
Jururawat tadi mengelengkan kepalanya. “ Saya salah tanya soalan. Bila kamu LARI lagi dari hospital ni?” sengaja dia menekankan perkataan lari.
“ Tadi.” Fazrin menjawab sepatah juga.
“ Ish kamu ni, degil betul. Padanlah dari tadi doktor sibuk cari kamu. Dah naik cepat kita pergi hospital sama-sama. Suka betul menyusahkan orang. Cepat!” arahnya sambil membebel.
Tanpa pilihan, Fazrin menaiki juga van ambulan itu bersama tiga lagi jururawat di dalamnya. Selepas pintu ditutup, bergemalah lagi bunyi siren yang lantang membelah angin senja yang permai itu.

............ANGIN..............

 Alhamdulillah akhirnya The Climb dah pun siap. Cerpen baru menanti untuk dicoretkan. Tapi, sekarang tiba-tiba pulak berminat nak bersajak dan berpuisi.  Tengoklah ada kelapangan InsyaAllah tak segan-segan nak post sajak dan puisi pulak kat sini. Dah nama pun nak belajar-belajar menulis.

Sejak terbacakan buku himpunan sajak karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said perasaan ingin mencuba mencipta sajak sendiri tu membuak-buak. Tambahan pulak sejak kebelakangan ni memang JIWA KACAU habis!! Mana datangnya ilham tu tak tahulah. Tapi tak apa, tak salah untuk mencuba. :D

INI dia puisi pertama! Idea spontan!


............ ANGIN............
katakan pada aku, rasa ini salah,
hembuskan bayumu, bawa pergi rasa ini,
angin, hadirmu memang damai,
namun kesejukkan mu, merimaskanku.
angin! jangan bekukan hati ini,
hanya untuk mu!!


CATATAN:
idea untuk menulisnya tercetus disekolah. Biasanya bila dah tengah hari dekat kelas memang akan dilanda angin yang sangat kuat dan sangat best. Sampaikan boleh sejuk jari.  Kisah kehidupan sendiri juga yang menjadi tema kepada puisi ini.  Sudah pastinya apabila mengenangkan seseorang.