Hari ini adalah hari yang baru sempena tahun 2011. Hari ini juga aku akan menjejakkan kaki ke sekolahku yang ke dua dalam masa tiga tahun. Suasana pagi Isnin di bandar Sri Mawar yang baru sebulan kudiami ini kuamati dari dalam kereta yang sedang meluncur perlahan. Memang tidak sesibuk seperti di kota metropolitan Kuala Lumpur. Bangunan-bangunannya pula tidak sepadat dan setinggi yang terdapat di Kuala Lumpur. Mungkin juga bandar ini sedang membangun. Tidak mustahil jika bandar ini juga akan berubah menjadi sebuah bandar raya yang setanding ibu negara Malaysia itu.
Sedang aku mengelamun, kereta Toyota Camry Silver yang dipandu oleh ayah sampai ke kawasan persekolahan baruku. Pendaftaran aku, kakak dan adikku yang bongsu telah diuruskan dua hari yang lalu. Selesai mengucup tangan bapaku sebelum menuruni kereta, persekitaran sekolah itu aku pandang tanpa rasa berminat. Sudah jenuh aku berpindah sekolah, perasaan teruja setiap kali ingin bertemu rakan baharu itu sudah lali aku rasakan. Bahkan, aku dapat mengagak apa yang berlaku di dalam kelas nanti. Sudah pastinya aku akan perkenalkan diri di hadapan dan mula berkenalan dengan rakan-rakan sekelas. Aku tersenyum sejenak.
“ Eh Dian. Termenung apa lagi tu? Jomlah masuk. Nanti loceng bunyi terlambat pulak,” suara perempuan yang menegurku membuatkanku tersentak seketika. Lalu aku pun berpaling. Kelihatan kakakku Dayana yang bercermin mata tebal dengan fail besar yang dikeleknya. Hai, hari pertama sekolah pun dah berbagai-bagai barang dibawanya.
“ Em… Jomlah kita masuk. Ajaklah Danny sekali. Apa yang dia tenungkan tu?” aku memuncungkan bibir ke arah adikku Danial yang ku panggil Danny itu. Kusut benar raut wajah anak muda yang baru berusia 13 tahun itu.
“ Dia berdebarlah tu. Orang baru nak masuk sekolah menengah. Danny! Jom cepat kita masuk. Danny ada orientasi hari ni tau,” jerit kakakku kepada Danny. Dengan raut wajah yang bimbang, Danny melangkah menghampiri kami.
Selepas itu kami bertiga beriringan melangkah masuk kedalam Sekolah Menengah Sri Harum yang masih lagi sesak menyambut ketibaan para pelajar dan kereta-kereta para guru. Tidak ketinggalan juga motor, kereta dan basikal pelajar yang berulang-alik keluar masuk dari perkarangan sekolah.
SETELAH 60 anak tangga berjaya ku daki, aku menarik nafas sepanjang-panjangnya untuk mengnormalkan semula aturan nafasku. Memang lenguh rasanya mendaki untuk ke kelas yang berada di tingkat empat itu. Setelah mengumpulkan nafas dan semangat aku menuju ke kelas 3 Intelek. Rasa bangga terselit di jiwa seketika kerana aku berjaya menduduki kelas yang pertama di dalam sekolah ini. Bermakna aku juga tergolong dalam kalangan pelajar elit.
“ Assalamualaikum.” Aku memberi salam kepada seorang guru dan entah berapa ramai pelajar yang terdapat didalamnya. Seketika, berpasang-pasang mata melihat ke arahku dengan pelbagai pandangan. Ada yang tertanya-tanya, ada yang berbisik-bisik dan pelbagai ragam lagi. Tetapi aku tidak ambil peduli. Guru lelaki yang agak kacak itu menjawab salamku sambil tersenyum.
“ Masuklah. Awak ni mesti Dianakan? Awak dah jumpa pun kelas awak.” Guru lelaki itu menjemput aku masuk dengan mesranya.
Aku turut membalas senyuman beliau. “ Terima kasih cikgu.” Perlahan-lahan aku mengatur langkah menghampiri guru itu sehinggalah aku sudahpun terpacak disebelahnya.
“ Kelas! Minta perhatian. Hari ini kita ada seorang pelajar baru. Namanya Diana Arisya Bt. Dhaim. Dia baru datang dari Kuala Lumpur.” Dengan lantangnya guru yang masih tidakku ketahui namanya itu memperkenalkan diriku.
Tanpa sempat aku berkata apa-apa, dia menyambung lagi. “ Jadi Diana, awak boleh kenal dengan lebih rapat lagi dengan kawan sekelas awak. Awak boleh duduk di tempat kosong yang dekat belakang tu.”
“ Terima kasih cikgu. Tapi cikgu boleh panggil saya Dian je,” sampukku perlahan. Tidak biasa pula rasanya apabila cikgu memanggilku sebegitu.
Sekali lagi cikgu itu tersenyum. “ Tak ada masalah. Mulai sekarang, saya guru kelas awak. Nama saya Muslim. Awak boleh panggil saya Sir Muslim.”
Aku mengangguk sebelum dahiku berkerut. “ Sir? Tapi nama macam ustaz.” Aku berseloroh sambil tersengih.
Sir Muslim tertawa kecil. “ Jangan nilai orang melalui nama,” jawab Sir Muslim perlahan. Aku mengangguk setuju sebelum meminta izin untuk ke tempat dudukku.
Disebelahku, terdapat seorang pelajar perempuan yang sedang termenung dengan raut wajah yang bosan. Dia hadapanku pula, ada dua orang pelajar lelaki yang sedang bercakap sesama mereka. Melihat mereka yang tidak berminat untuk menyapaku itu, aku mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja.
Suasana kelas yang mula bising itu menjadi sepi kembali ketika kedengaran suara Sir Muslim berbicara.
“ Jadi, saya nak ucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar dan selamat datang kepada kawan baru kita Dian.” Serentak dengan itu, pandangan semua pelajar tertumpu kepadaku. Aku hanya mempamerkan senyuman ikhlas tanda perkenalan.
“Hari ni juga, saya nak ingatkan yang kamu semua sudah bergelar calon PMR 2011. Kamu semua sepatutnya tahu apa yang ingin kamu tuju pada masa akan datang bukan?” sambung Sir Muslim lagi. Bergema jawapan ‘ya’ yang disorak oleh para pelajar lain.
“ Sebagai pembukaan sekolah sesi 2011 hari ni, saya nak tahu tentang cita-cita masing-masing. Boleh?”
Lagi sekali soalan Sir Muslim dijawab serentak oleh para pelajar. Setelah Sir Muslim menyebut nama palajar pertama yang harus menyatakan cita-citanya, pelajar-pelajar lain sibuk bersiap sedia menungu giliran mereka. Aku tidak ketinggalan untuk mendengar tentang cita-cita para pelajar elit ini. Sehingga pelajar yang ke-20 kebanyakkan cita-cita yang dinyatakan adalah doktor dan jurutera. Nampaknya, 20 tahun akan datang, Malaysia akan mempunyai bilangan doktor dan jurutera yang ramai. Tidak ketinggalan juga pelajar lelaki yang dihadapanku, Joey yang bercita-cita ingin menjadi seorang peguam. Manakala, rakan sebelahnya Adam bercita-cita ingin menjadi seorang ahli perniagaan. Sehinggalah tiba giliran rakan sebelahku yang dipanggil Sam, dia mempunyai cita-cita untuk bergelar seorang doktor.
“ Okey Dian, sekarang giliran awak. Boleh kami semua tahu apa cita-cita awak?” tanya Sir Muslim. Kini seluruh kelas memberi perhatian kepadaku.
Aku bangun dan menjawab, “ Saya nak jadik seorang ahli muzik.”
TEPAT jam 1.30, loceng sekolah berbunyi tanda sesi persekolahan pada hari itu sudah tamat. Semua pelajar berpusu-pusu mengalas beg dan terkejar-kejar menuruni tangga. Semuanya ingin cepat, takut rumah lari agaknya. Aku hanya bersendirian sepanjang menuruni tangga. Hari ni, kakakku terpaksa pulang agak lewat kerana dia ingin menguruskan kelas tuisyennya di sekolah ini. Jadi, aku mengambil keputusan untuk melihat persekitaran sekolah ini. Aku malas ingin menjenguk Danny kerana aku tahu di adalah seorang budak lelaki bijak yang cepat menyesuaikan diri.
Dari satu bangunan ke satu bangunan aku lewati. Pada pengamatanku, sekolah ini boleh tahan besar juga. Di sini ada disediakan kelas jahitan dan bilik lukisan serta bengkel kayu yang luas. Kemudahan prasarana juga banyak. Aku ayunkan kakiku ke arah bangunan dua tingkat yang berwarna biru gelap. Di bahagian bawah blok itu, terdapat sebuah pentas serta dinding yang dihiaskan dengan lukisan alatan-alatan muzik. Aku semakin tertarik. Tangga yang disediakan itu aku daki satu-persatu.
Setelah mendaki dua puluh anak tangga, aku terus berjalan menghampiri sebuah bilik dengan pintunya yang terbuka. Kedengaran suara orang sedang bercakap-cakap. Timbul juga perasaan takut dihati, tetapi aku memberanikan diri untuk menjenguk kedalam. Rupa-rupanya, suara yang kudengar tadi adalah suara Sam, Adam dan Joey yang sedang bersembang. Tetapi, yang lebih membuatkan aku teruja adalah, bilik yang tersergam dihadapanku ini adalah sebuah milik muzik. Sebuah bilik yang lengkap dengan alatan muzik seperti gitar, drum dan piano.
“ Hai semua! Korang buat apa kat dalam ni?” aku menyapa mesra. Tanpa rasa ragu-ragu lagi aku melangkah masuk ke dalam bilik muzik yang cantik bemozek merah hati itu. Kelihatan Adam sedang duduk di atas kerusi sambil memegang gitar. Sam pula tersembunyi disebalik set drummer yang besar itu. Hanya Joey sahaja yang sedang berdiri. Jadi, aku melangkah menghampir Joey. Di kalangan mereka bertiga ini, hanya Joey sahaja yang peramah. Sam memang diakui seorang yang pendiam manakala Adam agak sombong orangnya.
“ Hai Dian. Kau tak balik lagi? Kita orang duduk-duduk aje dekat dalam ni,” jawab Joey.
“ Kakak aku belum balik lagi. Sementara tunggu dia, aku jalan-jalanlah tinjau keadaan sekolah baru aku ni. Korang tengah praktis main lagu ke?” tanyaku berminat.
Walaupun soalan itu aku tujukan kepada Joey, tetapi Adam pula yang terlebih dahulu menyampuk dengan garangnya.
“ Kalau ye kenapa? Kau nak join sekali?”
Aku memandang Adam yang sedang merenungku dengan tajam sekali.
“ Kau ni kenapa? Tiba-tiba pulak nak marah aku. Aku bercakap dengan kau ke?” balasku dengan nada yang sama.
“ Kau tu yang menyibuk dekat sini. Bilik ni hanya untuk orang yang tahu main muzik aje. tempat ni tak sesuai untuk kau,” balas Adam dengan sombongnya.
“ Mata kalau dah ada dua, gunalah dua-dua. Jangan pandang orang sebelah matalah. Bak sini gitar kau tu. Pegang aje lebih, bunyinya tak ada,” kataku sambil merampas gitar kapok yang sedari tadi berada di atas ribaan Adam. Sam dan Joey hanya bertindak sebagai pemerhati.
Tali gitar itu ku sangkutkan ke bahu sebelum jari-jemariku memegang tali mengikut kod Em. Perlahan-lahan aku memetik enam tali yang lain mengalunkan irama lagu Safe and sounds daripada penyanyi yang aku minati,Taylor Swifts.
Setelah habis korus lagu aku itu aku dendangkan, Joey dan Sam menghadiahkan tepukan kepadaku. Adam pula hanya terdiam seribu bahasa. Mungkin dia rasa bengang atau terkejut atau tak percaya. Lantak dialah nak fikir apapun.
“ Wah, kau pandai main gitar rupanya. Suara sedap pulak tu,” puji Joey.
Aku tersengih cuma. “ Bakat terpendamlah tu.”
Joey dan Sam ketawa mendengar gurauanku itu. Saat ini baru terdengar suara Sam walaupun aku duduk disebelahnya selama beberapa jam di dalam kelas tadi.
“ Kau orang selalu jamming sama-sama ke? Boleh aku join?” aku meminta izin.
Joey memandang Sam dan Sam memandang Adam. Adam angkat bahu, Sam mengangguk dan akhirnya Joey berkata, “ Jomlah!”