SUASANA didalam kelas yang bagaikan pasar tidak menganggu tumpuannya membelek senaskah majalah yang dipinjam dari rakannya pagi tadi. Apa yang pasti, dia begitu tertarik dengan bahagian gadjet yang terdapat di dalam majalah itu. Helaian majalah yang memaparkan iklan-iklan telefon bimbit dibeleknya dengan penuh minat. Sejak telefonnya dahulu rosak, dia sudah lama mengidamkan telefon baharu. Tambahan pula, telefon masa kini semakin canggih dan menarik. Tetapi dia tidak memilih yang harganya mencecah ribuan ringgit. Cukuplah yang biasa-biasa sahaja. Dia bukannya lahir di atas dulang emas dan mampu memiliki segala yang diinginkan.
“ Hoi!! Faz?? Kau tengok apa tu?” Entah suara siapa yang memanggilnya itu. Namun, kuatnya mampu mengugurkan jantung. Fazrin berpaling ke belakang. Ternyata Zizi yang memanggilnya dari luar kelas. Rakannya itu hanya tersengih menayangkan giginya.
“ Yang kau menjerit-jerit tu kenapa? Kacau betullah,” rungut Fazrin dengan suara yang hampir sama kuatnya dengan suara Zizi tadi. Majalah tadi dibeleknya semula. Tidak lama selepas itu, kerusi di hadapannya diduduki oleh Zizi.
“ Apa yang kau tengok tu? Khusyuk semacam aje?” Zizi menyoal. Majalah dipegangan Fazrin ditinjaunya sedikit.
Fazrin diam. “ Oh, majalah handphone rupanya. Nak beli yang baru ke?” soalan Zizi kedengaran lagi.
Barulah Fazrin mendongak. Dia tersenyum dan mengangguk. “ A’ah. Susahlah tak ada handphone. Aku ingat nak minta mak aku belikan. Lagipun, tak lama lagikan birthday aku.”
Zizi meletakkan jari telunjuknya di dagu seolah-olah sedang berfikir. “Yelah. Hari ni 20 haribulan satu. Hari jadi kau 25 haribulan kan?”
“ Ye, pandai kau.” Fazrin membalas. Belum sempat mereka ingin bersembang lagi, ustazah Sakinah telah pun melangkah masuk ke dalam kelas. Zizi dan pelajar yang lain kelam-kabut kembali ke tempat masing-masing. Fazrin lekas-lekas menyimpan kembali majalah tadi ke bawah meja.
FAZRIN memangkah nombor empat di kalendar bulan Mac dua ribu dua belas. Setiap hari dia menghitung hari dan menanti tarikh di mana sekolah akan ditutup. Baginya, alam yang paling membosankan adalah alam persekolahan. Meskipun kebanyakkan pelajar menganggap tahun di tingkatan empat merupakan tahun untuk berbulan madu. Tetapi baginya yang merupakan pelajar harapan sekolah, setiap hari dia mesti memberikan komitmen yang baik dalam pelajaran dan menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap peperiksaan.
Suasana di dalam kelas tanpa seorang guru pastinya hingar bingar. Dia tidak hirau dan tidak ingin turut serta rakan-rakannya yang sedang sibuk bersembang seperti mak cik-mak cik di kawasan perumahannya. Dia merenung ke luar tingkap, hari ini hatinya keluh kesah. Semalam dia baru sahaja menerima keputusan pemeriksaan kesihatannya di hospital. Apa yang diterimanya sungguh mengejutkan. Tetapi dia tidak tahu kepada siapa ingin dia meluahkan rasa hatinya yang sedang gundah-gulana ini.
Ketenangannya yang baru ingin dinikmati diganggu dengan kedatangan Syuhada dengan muka yang sembab dan hidung yang merah. Tanpa diberitahu Fazrin dapat mengagak gadis itu baru sahaja sudah menangis. Fazrin tahu, dia harus bersiap sedia menjadi pendengar yang setia untuk Syuhada. Selama ini, rakan-rakannya tidak pernah menbuka telinga untuk mendengarnya, tetapi biarlah dia yang menjadi pendengar setia untuk teman-temannya.
Beberapa bulan kemudian…
Jam sudahpun menunjukkan tepat pukul 6.30 petang. Lagi satu jam, pastinya azan maghrib akan berkumandang. Fazrin mendongak memandang langit yang beransur kelam. Meskipun berjalan berseorangan di sini, dia tidak gentar kerana kereta tidak putus-putus di atas jalan raya. Bukan sahaja kereta, mat-mat motor yang sedang merempit juga tidak ketinggalan. Pelbagai gaya dan aksi yang mereka tunjukkan meskipun orang lain hanya akan mencaci dan memaki mereka. Tidak ketinggalan juga bunyi enjin motor kapcai mereka yang menyakitkan telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“ Ish budak-budak ni, tak takut mati ke? Agak-agak dah puas hidup sangat ke?” bebel Fazrin.
Tidak putus-putus motor mat-mat rempit yang lalu disebelahnya. Lajunya motor itu tidak usah ditanya bagaikan pelesit.
“ Mintak-mintaklah ada yang jatuh tergolek depan aku ni seorang. Biar aku sekolahkan dia cukup-cukup. Memang dasar tak ada sivik betullah,” tambahnya lagi.Bagaikan sumpahan si ibu tanggang, kata-kata Fazrin menjadi kenyataan apabila sebuah motor EX5 putih yang sedang memecut laju bagaikan kehilangan kawalan sebelum pemboncengnya jatuh tergolek beberapa meter dari tempat Fazrin berdiri.
“ Aduh!” kedengaran suara mangsa mengerang kesakitan. Darah merah sudah mula keluar membasahi lutut dan sikunya.
Tanpa rasa bersalah dan belas kasihan, Fazrin ketawa terbahak-bahak sambil berjalan menghampiri pemuda yang masih lagi terbaring itu.
“ Amacam bro? Sedap? Sakit tak?” tanya Fazrin dengan nada menyindir.
“ Itulah kau, yang pergi cari penyakit tu kenapa? Nasib tak kena gilis dengan lori balak tadi,” tambah Fazrin lagi sambil ketawa.
Pemuda tadi membuka helmetnya yang berwarna hitam. Dia merenung Fazrin dengan tajamnya. “ Aku sakit pun, ada kena mengena dengan kau ke? Yang kau menyibuk dekat sini kenapa?” balas lelaki itu kasar.
Herdikan lelaki itu tidak langsung mengetarkan Fazrin. Malah, dia mengukirkan senyuman dengan lebarnya lagi. “ Alah, dia tengah malu, nak marah-marah orang pulak. Jangan risau, tak ada siapa-siapa pun kat sini. Kurang sikit rasa malu kau kan. Yelah, ingatkan teror sangat berlumba tadi, tup-tup tergolek macam nangka buruk yang busuk dekat sini. Malang betul ek?” tambah Fazrin lagi dengan ketawa mengejeknya.
Bertambah bahang di hati lelaki itu dengan kata-kata Fazrin.
“ Eh, perempuan! Kau jangan ingat kau bagus sangatlah. Dah tahu ada orang tengah sakit ni, bukannya reti nak tolong. Ni nak membebel pulak.”
Ketawa Fazrin mati. Lelaki itu direnungnya tajam. “ Kau ni memang kurang ajarkan. Eh, asal kau hidup lagi? Kenapa tergolek tadi tak terus gol je? Sihat menyusahkan orang, dah sakit tak reti nak insaf pulak tu, hairan aku.”
“ Apa yang kau membebel lagi tu? Tak reti-reti ke nak tolong aku ni? Ke kau tak nampak aku yang tengah sakit ni? Rabun?” jerit lelaki itu.
‘ Banyak mulut betul minah ni,’ sempat lagi dia merungut. Kaki, tangan dan kepalanya sudah mula berdenyut-denyut menahan rasa sakit yang teramat.
“ Itulah kau. Orang suruh belajar tak nak. Memang sah muka tak tahu malu, nak minta tolong dengan aku tapi menjerit-jerit. Kau ingat aku ni siapa, bibik? Amah kau? Banyak masa pulak aku nak tolong orang yang tak ada adab macam kau ni. Malam sikit,” balas Fazrin sambil mengorak langkah untuk pergi.
Lelaki itu gelisah. Takkanlah dia ingin berjalan sendiri ke hospital dengan keadaan seperti ini? Rasanya kakinya sudah terseliuh dan teramat sakit. Tambahan pula, lututnya luka agak teruk kerana terseret di atas jalan tadi. Perasaan malu dan ego ditolak tepi dahulu.
“ Wei tolonglah. Aku betul-betul tengah sakit ni, aku Cuma mintak kau tolong panggilkan ambulan aje.” kedengaran suara lelaki itu merintih.
Kasihan pula Fazrin mendengarnya. Dengan rasa perikemanusiaan yang masih bersisa di dalam hati, dia berpaling dan melangkah semula ke arah pemuda yang masih terbaring itu.
“ Kau tak cakap pun, aku tahu kau tengah sakit. Tunggu sekejap,” katanya sambil mengeluarkan telefon bimbit dari seluar jeans yang dipakainya.
Selepas itu, Fazrin duduk bertingung sementara menanti ambulan yang dihubungi sampai.
“ Apa yang kau buat lagi dekat sini lagi?” tanya lelaki itu tiba-tiba.
“ Menghalau nampak. Aku ni manusia yang prihatin tau tak? Takkan aku nak tinggalkan kau dekat sini. Kalau kena makan dek rimau ke, kena larikan dengan bunian ke tak ke naya? Kau ingat aku nak sangat duduk sini maghrib-maghrib ni? Bersyukurlah sikit,” jawab Fazrin panjang lebar walaupun soalan yang ditanya panjangnya tidak sampai sejengkal. Nampak sangat Fazrin ini becok orangnya.
Tetapi, jikalau sesiapa pun yang berada di tempat Fazrin sekarang, pasti akan melakukan perkara yang sama. Siapa yang tega ingin meninggalkan seorang mangsa kemalangan di jalan yang sudah semakin sunyi di remang senja sebegini?
Tidak lama kemudian, Fazrin sudah menampar lengannya yang sudah mula dihinggapi oleh nyamuk yang kelaparan. Dia sudah merungut-rungut sendirian.
“ Hish, banyak betul nyamuk dekat sini. Kau ni pun satu, yang pergi eksiden dekat sini kenapa? Eksidenlah dekat jalan raya ke, ramai sikit yang boleh tolong kau. Ini tak, depan kaki aku nilah kau nak tergolek. Tak pasal-pasal aku pun terbabit sama tercongok dekat sini.” Fazrin yang sememangnya becok itu sudah mula membebel.
Lelaki tadi nampaknya sudah tiada daya untuk mencantas bebelan Fazrin yang sememangya ditujukan kepadanya itu. Kaki dan kepalanya sudah mula berdenyut kuat. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Lama sungguh rasanya menanti ambulan di saat sedang sakit begini.
Lama suasana di antara mereka senyap sunyi sehinggalah tiba-tiba Fazrin tersedar sesuatu.
“Eh, kalau kau pergi hospital nanti, motor kau macam mana? Nak tinggalkan dekat sini?” dia memandang motor EX5 putih yang tersidai di tepi jalan itu. Tiada kerosakan teruk yang berlaku. Cermin sisinya sahaja yang pecah.
“ Em… biarkan ajelah dekat sini,” jawab lelaki itu lemah.
Fazrin memuncungkan bibirnya seolah-olah sedang berfikir. “ Mana boleh macam tu. Aku telefonkan polis nak?” usulnya.
“ Jangan! Roadtax dengan lesen aku dah mati. Nanti tak pasal-pasal jadik kes polis pulak,” sanggah lelaki itu pantas. Yerlah, siapa yang tidak takut selepas membuat kesalahan jalan raya dan ingin dibawa pula ke polis. Jangan main gilo!
Fazrin ketawa mengejek. “ Lain kali jangan pandai-pandai nak berlumba. Lesen tak ada, sebut polis tahu pulak takut.”
Bunyi siren ambulan yang sayup-sayupp kedengaran menyelamatkan lelaki itu daripada mendengar lagi ejekan dan sindiran Fazrin. Semakin lama semakin kuat bunyinya hinggalah ambulan putih yang bertulisan merah itu berhenti betul-betul di hadapan mereka. Fazrin bangun dari duduknya dan melihat dua orang jururawat lelaki mengeluarkan strecher dari dalam van lantas mengangkat pemuda tadi lalu meletakkanya di atas strecher itu. Dia senyap sahaja hinggalah satu suara dari dalam van itu menegurnya.
“ Eh Fazrin. Bila kamu keluar dari hospital?” tanya jururawat wanita yang berbadan gempal itu.
Fazrin mendongak memandang si empunya suara.
“ Tadi.” Dia menjawab sepatah.
Jururawat tadi mengelengkan kepalanya. “ Saya salah tanya soalan. Bila kamu LARI lagi dari hospital ni?” sengaja dia menekankan perkataan lari.
“ Tadi.” Fazrin menjawab sepatah juga.
“ Ish kamu ni, degil betul. Padanlah dari tadi doktor sibuk cari kamu. Dah naik cepat kita pergi hospital sama-sama. Suka betul menyusahkan orang. Cepat!” arahnya sambil membebel.
Tanpa pilihan, Fazrin menaiki juga van ambulan itu bersama tiga lagi jururawat di dalamnya. Selepas pintu ditutup, bergemalah lagi bunyi siren yang lantang membelah angin senja yang permai itu.
No comments:
Post a Comment